Kes buli MCKK: Kertas siasatan dihantar semula Isnin ini

Kes buli MCKK: Kertas siasatan dihantar semula Isnin ini

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata ia akan dihantar selepas laporan perubatan mangsa diperoleh hari ini.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata setakat ini polis hanya menunggu laporan lengkap kes mangsa buli di MCKK daripada Hospital Kuala Kangsar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kertas siasatan kes buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) akan dirujuk semula kepada Jabatan Peguam Negara selepas laporan penuh perubatan mangsa kes itu diperoleh daripada hospital hari ini.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata kertas siasatan serta laporan perubatan itu akan dihantar Isnin ini untuk arahan seterusnya.

“Kita sudah melengkapkan kertas siasatan berkenaan dan sudah menghantarnya kepada timbalan pendakwa raya(TPR) sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara di Putrajaya. Kertas siasatan terbabit bagaimanapun telah dipulangkan semula kepada pihak kita untuk diambil tindakan.

“Setakat ini kita tunggu laporan lengkap daripada Hospital Kuala Kangsar, itu sahaja,” katanya pada sidang media hari ini, menurut Berita Harian.

Yusri berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang unsur untuk menyelesaikan perkara itu di luar bidang perundangan sama ada daripada pihak ibu bapa, sekolah dan sebagainya.

Media pada 11 Nov lalu melaporkan polis akan merujuk semula kertas siasatan kes itu susulan beberapa arahan khusus daripada Jabatan Peguam Negara antaranya untuk melengkapkan siasatan seperti laporan penuh perubatan mangsa.

Yusri sebelum ini berkata, kertas siasatan berhubung kes itu dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.