Azmin dilantik pengerusi PAC Selangor

Azmin dilantik pengerusi PAC Selangor

DUN Selangor luluskan 10 usul pelantikan ahli jawatankuasa pilihan baharu.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari membawa usul pelantikan ahli jawatankuasa pilihan untuk penggal baharu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
DUN Selangor hari ini meluluskan 10 usul pelantikan ahli jawatankuasa pilihan (JP) baharu termasuk ketua pembangkang Azmin Ali sebagai pengerusi jawatankuasa kira-kira wang (PAC).

Sepuluh usul pelantikan Ahli JP tersebut adalah JP Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT); JP Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT); JP Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS); JP Peraturan-peraturan Tetap; JP Hak dan Kebebasan Dewan; serta JP Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT).

Selain itu, turut dikemukakan usul mengenai JP Khas Pengurusan Dewan; JP Khas Mengenai Perubahan Iklim, Kebajikan, Kesihatan, Pendidikan, Pembangunan Keluarga, Agama, Wanita serta Kesejahteraan Hidup dan ahli PAC.

Kesemua usul itu dibentangkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, menurut Bernama.

Terdahulu, persidangan sedikit kecoh apabila 22 Adun pembangkang bertindak keluar dewan susulan tidak berpuas hati dengan senarai ahli JP terbabit.

Speaker DUN Selangor Lau Weng San berkata penubuhan kesemua jawatankuasa berkenaan akan berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kerajaan negeri, selain sebagai tanda kematangan DUN Selangor dalam membawa isu rakyat serta meningkatkan proses demokrasi.

Mengulas mengenai pemilihan ahli JP, Lau berkata pihaknya sedia menerima cadangan daripada pembangkang mahupun kerajaan namun keputusan akhir akan dibuat oleh beliau sendiri.

“Isu yang dibangkitkan pembangkang kenapa nama ditukar kerana ada sesetengah ADUN diletakkan (menganggotai) lebih dua jawatankuasa pilihan. Jadi yang lebih kita kurangkan dan kita gantikan, mereka tetap dari blok yang sama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.