Anwar tak abai reformasi, ambil pandangan pembangkang, kata Fahmi

Anwar tak abai reformasi, ambil pandangan pembangkang, kata Fahmi

Fahmi Fadzil berkata Anwar Ibrahim mahu mendapat pandangan pembangkang melalui perbincangan seperti dalam isu peruntukan wakil rakyat.

Fahmi Fadzil berkata pembangkang perlu mengikut proses yang telah ditetapkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil menafikan Anwar Ibrahim membelakangkan slogan reformasi sepanjang setahun pentadbirannya apabila tidak menyalurkan peruntukan kepada pembangkang.

Menteri komunikasi dan digital itu berkata Anwar meminta Perikatan Nasional (PN) berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof kerana mahu mendapatkan pandangan mereka, selaras dengan proses telah ditetapkan.

Beliau menegaskan perkara itu sama seperti pentadbiran Ismail Sabri Yaakob yang bukan sahaja pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) mendapat peruntukan tetapi berjaya menyelesaikan beberapa isu utama membabitkan kepentingan rakyat.

Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan PH ketika itu mengandungi enam agenda iaitu pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

“Ia bukan sekadar memohon peruntukan kerana hasrat dan niat perdana menteri untuk libatkan pembangkang,” kata ketua penerangan PKR itu kepada FMT.

“Jadi tak timbul isu tentang membelakangkan, meremehkan atau menafikan hak mereka kerana perdana menteri dah nyatakan prosesnya.”

Pada 10 Nov lalu, bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata tindakan meluluskan peruntukan Ahli Parlimen PN hanya selepas mereka menyokong perdana menteri bertentangan dengan janji Anwar melaksanakan reformasi institusi ketika di blok pembangkang.

Fahmi berkata sebaik mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 24 Nov tahun lalu, Anwar telah menyuarakan hasrat supaya pembangkang bersama membantu kerajaan.

“Seawal 24 Nov, saya ingat kerana berada betul-betul di sebelah beliau di Sungai Long, beliau minta pembangkang bersama dengan kerajaan perpaduan untuk membantu kerajaan.

“Kita (juga) dengar beberapa kali perdana menteri sebut dalam dan luar parlimen supaya pembangkang tampil berbincang bersama TPM 2 (Fadillah) supaya satu persetujuan dapat dicapai termasuk isu peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.

“Bila dah kita nyatakan proses kita ikut proses,” katanya.

Awal bulan ini, Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan berkata pembangkang tidak akan meneruskan perbincangan mendapatkan peruntukan daripada kerajaan kerana dikehendaki menulis surat dan memberi jaminan tertentu.

Empat Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar dengan alasan demi kebajikan dan pembangunan di kawasan diwakili mereka.

Mereka adalah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.