Stigma gelombang hijau bahaya untuk negara, kata Peja

Stigma gelombang hijau bahaya untuk negara, kata Peja

Ungkapan pemerintahan Taliban selepas PN menawan 74 kerusi pada PRU15 sengaja dicipta musuh politik untuk menakut-menakutkan pengundi bukan Melayu.

Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu merasmikan persidangan sayap Pemuda dan Wanita Bersatu.
SHAH ALAM:
Gelombang hijau dikaitkan dengan kebangkitan sokongan pengundi Melayu dan Islam terhadap Perikatan Nasional (PN) dikhuatiri akan membenihkan sifat perkauman atau merendahkan sesuatu kaum.

Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, berkata ungkapan pemerintahan Taliban selepas PN mencipta kejutan menawan 74 kerusi Parlimen pada PRU15 juga sengaja dicipta musuh politik untuk menakut-menakutkan pengundi bukan Melayu.

“Stigma Taliban atau gelombang hijau amat merbahaya kerana akan membenihkan rasisme dan merendahkan sesuatu kaum. Dalam jangka panjang ia akan lebih merbahaya,” katanya ketika merasmikan persidangan sayap Pemuda dan Wanita Bersatu.

Beliau berkata, jolokan yang disifatkannya “amat menyinggung perasaan” PN itu perlu dihentikan.

“Kerajaan PN bukan kerajaan ekstremis atau rasis seperti yang cuba dilabelkan.”

Istilah gelombang hijau sering digunakan pelbagai pihak termasuk PN untuk menggambarkan kejayaan PAS pada PRU15 meraih 43 kerusi di kawasan majoriti pengundi Melayu dan Islam.

Namun, Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada Jun lalu mendakwa penggunaan istilah itu khususnya oleh DAP dilihat mempunyai tujuan songsang terhadap Islam.

Pada kempen PRU15 November lalu, Ketua DAP Perak Nga Kor Ming memberi amaran mengenai kerajaan Taliban, dengan mengaitkan Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan jika PN berkuasa.

Sementara itu, Faizal berkata gabungan Bersatu dan PAS kini semakin diterima orang Melayu berbanding Umno.

“Musuh politik PN sebolehnya mahu menggagalkan kerjasama ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.