Sarawak buat penilaian wajar ambil alih MASWings

Sarawak buat penilaian wajar ambil alih MASWings

Rundingan juga sedang dijalankan dengan Malaysia Aviation Group (MAG) dan Khazanah Nasional Bhd untuk membeli saham dalam MASWings.

Pada 27 Okt lalu syarikat milik Sarawak Hornbill Skyways Sdn Bhd dan Malaysia Aviation Group (MAG) menandatangani MoU untuk mempercepatkan pembelian saham dalam MASWings. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Kerajaan Sarawak sedang menjalankan proses penilaian wajar terhadap MASWings Sdn Bhd sebagai persediaan untuk pengambilalihan, persidangan DUN diberitahu.

Timbalan Menteri Pengangkutan negeri, Jerip Susil, berkata selain itu rundingan juga sedang dijalankan dengan Malaysia Aviation Group (MAG) dan Khazanah Nasional Bhd untuk membeli saham dalam MASWings.

“Pengambilalihan akan dilakukan secara berperingkat dan operasi syarikat penerbangan milik Sarawak itu hanya akan dimulakan selepas keseluruhan proses pengambilalihan berkenaan selesai dan dimuktamadkan,” katanya dalam jawapan kepada Lo Khere Chiang (GPS-Batu Kitang) yang ingin tahu bila syarikat penerbangan Sarawak akan mula beroperasi.

Pada 27 Okt lalu, syarikat milik Sarawak Hornbill Skyways Sdn Bhd dan MAG menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mempercepatkan pembelian saham dalam MASWings bagi pengurusan perkhidmatan udara luar bandar.

Premier Sarawak, Abang Johari Openg, berkata MoU itu akan membuka jalan kepada perbincangan terperinci antara kedua-dua pihak bagi memastikan negeri itu memperoleh pegangan majoriti dalam syarikat penerbangan berkenaan.

Hornbill Skyways yang mengendalikan perkhidmatan penerbangan carter di Sarawak sejak 1977, diberi mandat untuk mengambil alih pemilikan MASWings dan mengendalikan perkhidmatan udara luar bandar di Sarawak dan Sabah.

Abang Johari berkata, kerajaan negeri berhasrat menjadikan Kuching sebagai hab utama syarikat penerbangan dan meluaskan laluan syarikat penerbangan ke destinasi serantau termasuk Australia, Hong Kong, Singapura, Jepun, Korea Selatan dan India.

Bagaimanapun, beliau berkata MASWings tidak akan berorientasikan keuntungan kerana matlamat pengembangan itu adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.