Prolintas, JPJ Selangor promosi kesedaran keselamatan jalan raya

Prolintas, JPJ Selangor promosi kesedaran keselamatan jalan raya

Ketua Pegawai Operasi Prolintas, Rostam Shahrif berkata penting memupuk etika jalan raya yang baik dalam kalangan pelajar sekolah.

Prolintas berharap usaha mendidik kanak-kanak sejak awal berhubung keselamatan jalan raya mampu mengurangkan kadar kematian dan kemalangan. (Gambar Prolintas)
PETALING JAYA:
Prolintas bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor bagi memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar menerusi Karnival Advokasi Keselamatan Jalan Raya yang berlangsung di SMK Seksyen 18 Shah Alam baru-baru ini.

Ketua Pegawai Operasi (projek dan operasi) Prolintas, Rostam Shahrif berkata sebagai pengendali lebuh raya terbesar di Lembah Klang, adalah menjadi tanggungjawab syarikat itu bersama-sama memupuk etika di jalan raya yang baik dalam kalangan pengguna.

“Nilai-nilai ini perlu dibudayakan dalam kalangan remaja sejak di bangku sekolah lagi dengan penglibatan terus oleh JPJ demi melahirkan generasi pengguna jalan raya yang berhemah, bertanggungjawab dan patuh undang-undang,” katanya.

Tambah Rostam, ini bukanlah kali pertama Prolintas bekerjasama dengan JPJ Selangor. Inisiatif sama pernah dijalankan pada 2018.

“Prolintas berbesar hati program seperti ini diteruskan lagi tahun ini. Ini adalah bukti keberkesanan program terdahulu,” katanya.

Pelajar sekolah yang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti keselamatan jalan raya. (Gambar Prolintas)

Seramai 200 pelajar dari sekolah SMK Seksyen 18 Shah Alam, SMK Seksyen 24 (2), SMK Seksyen 19 Shah Alam, SMK Subang Taman Subang Baru, SMK Bukit Gading Sungai Plong, SMK Bandar Baru Sungai Long, dan SMK Taman Medan menyertai karnival itu.

Program itu turut disertai ahli Kelab Kadet JPJ di bawah seliaan JPJ Selangor, guru, wakil agensi-agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan.

Antara aktiviti menarik di karnival itu termasuklah permainan Selangor Cares About Road Safety Educational Race, segmen advokasi motosikal dan basikal, ceramah dan taklimat keselamatan jalan raya serta pameran.

Rostam berkata, Prolintas berharap program itu berjaya mencapai matlamat mengurangkan kadar kemalangan sekali gus merealisasikan kempen sifar kematian akibat kemalangan jalan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.