NGO dakwa libat urus DBKL berkait pelan struktur lemah

NGO dakwa libat urus DBKL berkait pelan struktur lemah

Selamatkan Kuala Lumpur berkata, DBKL gagal menangani kekurangan kawasan lapang dan tidak memberi maklum balas terhadap cadangannya.

Pelan Struktur Kuala Lumpur atau PSKL2040 menggariskan rancangan pembangunan bandar bagi 20 tahun akan datang.
PETALING JAYA:
Sebuah NGO memperjuangkan perlindungan alam sekitar di ibu negara mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) gagal melibatkan masyarakat secara berkesan ketika merangka Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL2040), yang menggariskan pembangunan bandar bagi 20 tahun akan datang.

Pengerusi Selamatkan Kuala Lumpur (SKL), M Ali memberitahu FMT, DBKL gagal memberi maklum balas terhadap sesi libat urus terdahulu, di mana kumpulan itu menekankan kelemahan draf berkenaan, termasuk kegagalan menangani kekurangan kawasan lapang di ibu kota.

“Kami berulang kali menekankan dalam setiap libat urus, mereka patut memberi maklum balas berkesan kepada kami mengenai input yang diterima.

“Dan jika ini tidak diterima, apakah alasan mereka? Perlu ada penjelasan kepada orang ramai. Kenapa mereka cuba berahsia mengenainya?” soalnya sambil menambah mereka belum menerima sebarang maklum balas rasmi daripada DBKL.

Mac lalu, SKL menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tidak meluluskan PSKL2040 sehingga semua proses wajar diselesaikan DBKL, serta memberi amaran supaya tidak mewartakan dokumen itu “terlalu awal”.

Kumpulan itu mendakwa DBKL tidak menangani maklum balas dan bantahan dikemukakan pelbagai kumpulan penduduk.

Julai lalu, Anwar dilaporkan berpuas hati dengan sesi perbincangan mengenai draf rancangan itu dan meminta DBKL menambah baik serta mewartakan cadangan PSKL2040 sebelum akhir tahun ini.

Bulan lalu, perdana menteri meluluskan PSKL2040, kerajaan memasukkan beberapa cadangan dikemukakan pelbagai NGO dalam pelan akhirnya.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam responsnya terhadap dakwaan SKL, berkata DBKL menunaikan tanggungjawabnya dengan mengadakan libat urus dengan Ahli Parlimen dan NGO seperti diarahkan perdana menteri.

“Apa yang penting ialah rancangan tempatan setiap kawasan pilihan raya. Ini tanggungjawab NGO dan wakil rakyat,” katanya sambil menyuarakan hasratnya untuk menggerakkan kumpulan bagi memberi input kepada rancangan tempatan itu apabila tiba masanya.

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran pula berkata, beliau akan meminta DBKL menangani kebimbangan dibangkitkan SKL.

“Kami ada pertemuan bulanan dengan DBKL dan saya akan bangkitkan isu ini dalam mesyuarat akan datang yang dijadualkan bulan depan.”

FMT turut menghubungi DBKL untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.