
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan, semua 39 orang daripada 14 keluarga yang berlindung di PPS itu dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas banjir surut.
“Semua mangsa merupakan penduduk yang terjejas dari Kampung Selekoh dan Kampung Beriai yang tinggal di PPS itu bermula 30 Okt lepas,” menurut JPBN, lapor Bernama.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia kemudian melakukan proses sanitasi di semua PPS yang ditutup.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan, masih terdapat jalan yang terjejas akibat banjir, termasuk di laluan FT 147 Jalan Selama, Kerian yang ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air.
Di Batang Padang, laluan FT 1152 Felda Trolak Selatan dibuka satu lorong hanya bagi kenderaan ringan kerana pembaikan jalan utama perlu dilakukan segera berikutan bahu jalan runtuh.
Sementara itu, laluan di FT 001 Jalan Ipoh-Tanjung Malim dibuka satu lorong bagi semua kenderaan berikutan pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) di lokasi tersebut akibat tanah runtuh.
“Di Hilir Perak, laluan di A129 Jalan Langkap-Air Hitam dipasang papan amaran sementara dan pengguna jalan raya diminta menggunakan jalan alternatif di laluan FT058,” menurut JKR.