
Exco Perumahan dan Alam Sekitar S Sundarajoo (PH-Perai) berkata terdapat kenaikan kos pembinaan perumahan berikutan penutupan beberapa kuari.
Beliau juga berkata pemaju perumahan terpaksa membeli produk kuari dari Ipoh, Perak dengan kos pengangkutan yang mahal.
“Jadi sebagai exco alam sekitar (saya) sedang mengkaji macam mana cara kita boleh buka balik kuari-kuari untuk bekalkan produk-produk kuari yang boleh menurunkan kos pembinaan rumah di Pulau Pinang,” kata Sundarajoo pada sidang DUN.
Beliau menjawab soalan tambahan Zulkefli Bakar (PN-Penanti) berhubung usaha kerajaan negeri membina projek rumah mampu milik di negeri ini yang berharga RM100,000 memandangkan harga bahan binaan semakin meningkat.
Pulau Pinang kini mempunyai sembilan kuari kekal iaitu tujuh di tanah besar dan dua di pulau itu.
Terdahulu, Sundarajoo memberitahu DUN bahawa kerajaan negeri sedang mengkaji pengenalan kategori rumah mampu milik baharu iaitu kategori perumahan B2 berharga RM100,000.
Beliau berkata projek perumahan ini disasarkan kepada golongan belia yang baru bekerja dan berkahwin dengan gaji antara RM3,500 hingga RM5,000.
Pada masa ini, kerajaan negeri hanya mempunyai projek Kategori A berharga RM42,000, Kategori B1 (RM72,500), C1 (RM150,000), C2 (RM250,000) dan C3 (RM300,000).
Sundarajoo juga berkata, kenaikan harga rumah di Pulau Pinang adalah setara dengan peningkatan purata pendapatan isi rumah di negara ini.
“Peningkatan dalam purata pendapatan isi rumah (negara) membolehkan rakyat Pulau Pinang memiliki rumah yang berharga melebihi harga median,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ketua Pembangkang negeri Fauzi Yusoff (PN-Sungai Dua) yang bertanya mengenai harga rumah di Pulau Pinang – kedua tertinggi di Asia Tenggara pada purata RM330,000, berbanding harga median RM234,072.