
Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berkata agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu dilihat kurang berkesan dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai.
Menurutnya, malah ia menimbulkan beberapa kontroversi membabitkan bekas ketua pengarahnya Mohammad Agus Yusoff yang meletak jawatan minggu lalu.
“Kenapa tidak ambil alih J-Kom yang telah ada di bawah JPM dan dioperasikan di bawah KKD supaya dapat jimatkan perbelanjaan,” katanya ketika perbahasan peringkat jawatankuasa bagi KKD di Dewan Rakyat.
Menurut Wan Saiful, langkah itu juga dapat meningkatkan kecekapan J-Kom.
Pada 16 Nov lalu, Agus mengesahkan beliau menghantar surat perletakan jawatan sebagai ketua pengarah J-Kom kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana menerima tawaran kerja baharu dan bukannya disebabkan tekanan daripada mana-mana pihak supaya melepaskan jawatan yang disandang sejak 2 Feb lalu.
Dalam pada itu, Wan Saiful turut melahirkan kebimbangan program Komuniti Media Madani akan digunakan sebagai jentera politik yang berbentuk kepartian.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menerangkan rasional program itu diwujudkan.
Pada 2 Nov lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata Komuniti Media Madani akan dibentuk merangkumi jentera parti penyokong kerajaan, bagi memastikan maklumat sahih dan tepat berkenaan dasar-dasar kerajaan dapat disebarkan kepada rakyat.