Kencing di tempat letak kereta, lelaki Australia didenda RM100

Kencing di tempat letak kereta, lelaki Australia didenda RM100

Chih Peter mengaku salah membuang air kecil pada tiang di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya minggu lalu.

Tangkap layar video tular menunjukkan Chih Peter membuang air kecil pada tiang di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM100 terhadap seorang juruelektrik warga Australia kerana membuang air kecil pada tiang di tempat letak kereta sebuah pusat beli belah di Subang Jaya pada minggu lalu.

Tertuduh, Chih Peter, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.

Berdasarkan pertuduhan, Peter didakwa berkelakuan kurang sopan di tempat awam dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

Tertuduh melakukan kesalahan itu yang tular di media sosial di tempat letak kereta USJ 10 City Mall, pada 10.51 malam, 16 Nov lalu.

Tertuduh, yang tiba dari Australia pada 13 Nov lalu untuk menziarahi saudaranya, dituduh bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM100.

Terdahulu, peguam tertuduh R Morhaneraj memaklumkan bahawa tertuduh terdesak untuk membuang air kecil di kawasan tempat meletak kenderaan kerana tidak dapat menahan untuk pergi ke tandas ketika kejadian.

“Bagaimanapun, anak guam saya tidak menyedari kejadian tersebut dirakam. Namun tertuduh sudah mendapat pengajaran tentang kejadian ini dan tidak akan mengulangi perkara itu di masa akan datang,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran, kemudian memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum dan tertuduh juga diingatkan perlu menjaga adab ketika berada di negara orang.

Sasha Diana kemudian menetapkan denda RM100 terhadap tertuduh dan penjara sehari jika gagal membayarnya. Tertuduh membayar denda itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.