Imigresen selongkar timbunan perabot berkas GRO warga asing

Imigresen selongkar timbunan perabot berkas GRO warga asing

Sebilangan warga asing bersembunyi dalam stor dipenuhi perabot dan barangan elektrik rosak ketika serbuan di sebuah premis di Pulau Pinang.

Antara wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Dr Lim Chwee Leong, George Town, semalam. (Gambar Imigresen)
GEORGE TOWN:
Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 22 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Dr Lim Chwee Leong, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Ruslin Jusoh, berkata serbuan dibuat susulan aduan awam dan risikan berhubung kegiatan pusat hiburan itu yang menawarkan khidmat GRO asing.

Beliau berkata, seramai 32 individu diperiksa dalam operasi bermula 10.30 malam itu dan 22 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka terdiri lima wanita warganegara Vietnam, 15 wanita warganegara Thailand dan dua lelaki warganegara Thailand yang berpakaian serta perwatakan wanita.

“Semasa serbuan, sebilangan warga asing melarikan diri dengan naik ke tingkat atas premis dan bersembunyi di dalam stor di tingkat dua.

“Stor ini agak gelap serta dipenuhi perabot dan barangan elektrik yang rosak dan pegawai terpaksa menyelongkar di celah timbunan perabot itu bagi mengesan semua suspek sehingga mereka berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan.

Ruslin berkata, siasatan awal mendapati pusat hiburan tersebut menawarkan GRO warga asing sebagai pelayan atau teman berhibur dan pelanggan yang berminat disyaratkan membeli selempang untuk dihadiahkan kepada GRO yang dipilih dengan setiap selempang berharga antara RM100 hingga RM300.

“Antara kesalahan dikesan adalah menyalahgunakan pas jangka panjang dan pas lawatan sosial serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya memaklumkan semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Juru, Pulau Pinang, untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.