Edar dadah: Bekas mekanik, pasangan lepas tali gantung

Edar dadah: Bekas mekanik, pasangan lepas tali gantung

Mahkamah ganti hukuman gantung dengan penjara 30 tahun kerana mengedar 77.9g heroin dan monoacetylmorphines, dan 1517.3 g methamphetamine pada 2018.

Mahkamah menggunakan budi bicara bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846), dengan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap 1 Nov 2018. (Gambar Pixabay)
PUTRAJAYA:
Seorang bekas mekanik dan seorang bekas jurusolek yang didapati bersalah atas dua pertuduhan mengedar dadah, terlepas daripada hukuman gantung hari ini setelah Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati yang dikenakan ke atas mereka kepada penjara 30 tahun.

Hakim Hadhariah Syed Ismail, yang mengetuai panel tiga hakim, meringankan hukuman itu selepas menolak rayuan Lim Teck Hock dan Lee Sheue Ning terhadap sabitan kesalahan mereka.

Beliau berkata dadah itu ditemui di dalam bilik tidur yang diduduki oleh kedua-dua perayu dan dakwaan mereka bahawa dadah itu milik dua orang lain adalah tidak munasabah.

Hadhariah bagaimanapun berkata mahkamah menggunakan budi bicara di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) untuk meringankan hukuman mati pasangan itu kepada penjara seumur hidup iaitu 30 tahun bagi setiap pertuduhan, yang bermula dari 1 Nov 2018, tarikh mereka ditangkap.

Hukuman penjara mereka berjalan serentak yang bermakna Lim dan Lee perlu menjalani hukuman penjara 30 tahun. Lim tidak dikenakan sebatan kerana berusia lebih 50 tahun.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah ialah Azman Abdullah dan Azmi Ariffin.

Lim, 63 dan Lee, 31, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 27 Sept tahun lepas kerana kesalahan mengedar 77.9g heroin dan monoacetylmorphines, dan 1517.3g methamphetamine di sebuah pangsapuri di Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 3.20 pagi pada 1 Nov 2018.

Peguam P Latsmanan dan Hussaini Abdul Rashid yang mewakili Lim dan Lee masing-masing berhujah bahawa dadah itu milik dua lagi individu yang turut ditahan polis kerana kesalahan dadah.

Latsmanan berkata kedua-dua individu berkenaan tinggal di pangsapuri yang disewa itu beberapa hari sebelum perayu berpindah. Beliau berkata perayu itu bukan suami isteri tetapi tinggal bersama.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz berhujah bahawa dadah itu milik perayu kerana dijumpai di bilik tidur utama yang diduduki pasangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.