Didakwa abai Qaseh Aulia hingga mati, pengasuh taska mengaku tak salah

Didakwa abai Qaseh Aulia hingga mati, pengasuh taska mengaku tak salah

Warga Indonesia Mulyati Kalim didakwa mengabaikan bayi itu dengan meninggalkannya tanpa pengawasan sehingga membawa kepada kematian.

Mulyati Kalim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas tuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pengasuh taska warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan mengabaikan bayi perempuan berusia dua bulan sehingga menyebabkan kematiannya bulan lepas.

Mulyati Kalim, 51, didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga bayi itu, Qaseh Aulia Faizul, telah mengabaikan dengan meninggalkannya tanpa pengawasan sehingga membawa kepada kematian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Kota Damansara pada 9.40 pagi, 10 Okt lepas.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya P Vithiya Monisha tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes itu serius, membawa kepada kematian seorang bayi.

“Sekiranya mahkamah ingin membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tambahan tertuduh melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.

Peguam Badrul Munir Bukhari yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya berkahwin dengan warga tempatan selain menanggung empat anak.

“Anak guam saya tidak mempunyai pendapatan kerana tempat dia bekerja telah ditutup oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“(Dia kini) bergantung kepada suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan,” katanya.

Hakim Syahliza Warnoh membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin tempatan, dan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Dis.

Sementara itu, ibu Qaseh Aulia, Maisarah Rosli, 33, ketika ditemui pemberita selepas prosiding mahkamah berharap mendapat keadilan buat anaknya.

“Biarlah mahkamah menentukan (keputusan kes itu),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.