Syabu RM341,000 dirampas, sindiket didalangi lelaki Indonesia tumpas

Syabu RM341,000 dirampas, sindiket didalangi lelaki Indonesia tumpas

Empat lelaki dan seorang wanita tempatan turut ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ampang.

Polis merampas 10kg syabu di lobi sebuah kondominium di Jalan Ampang pada Jumaat lalu. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Satu sindiket pengedaran dadah didalangi warga Indonesia tumpas dan 10kg syabu bernilai RM341,000 dirampas dalam dua serbuan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata seorang lelaki warga Indonesia, empat lelaki bersama seorang wanita tempatan berusia 26 hingga 46 tahun ditahan dalam dua serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ampang pada 7.20 malam Jumaat lalu.

Katanya, dadah bernilai RM341,000 dirampas di lobi kondominium, bersama sebuah Toyota Alphard, Toyota Vios dan Perodua Alza masing-masing bernilai RM175,000, RM40,000 serta RM75,000.

“Semua suspek tempatan mempunyai rekod lampau narkotik dan jenayah, manakala dalangnya, lelaki warga Indonesia tiada rekod jenayah.

“Hasil saringan air kencing mendapati semua suspek positif methamphetamine. Nilai keseluruhan rampasan ialah RM631,000,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, sindiket yang bergerak aktif di sekitar Kuala Lumpur sejak dua bulan lalu itu hanya menghantar bekalan dadah kepada pelanggan berdasarkan pesanan diterima.

Katanya siasatan masih diteruskan untuk mencari sumber bekalan dadah itu.

Allaudeen berkata tiga daripada warga tempatan itu dikehendaki polis atas kesalahan narkotik dan jenayah.

Katanya semua suspek direman tujuh hari hingga 24 Nov ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.