Bersatu mahu pinda perlembagaan parti

Bersatu mahu pinda perlembagaan parti

Usul pindaan perlembagaan itu tiada kaitan isu antilompat parti.

Seramai 2,054 perwakilan seluruh negara akan menyertai Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, dari Khamis hingga Sabtu ini. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Usul meminda perlembagaan bagi menambah baik urusan pentadbiran parti akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, dari Khamis hingga Sabtu ini.

Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin merangkap pengerusi Jawatankuasa PAT Bersatu 2023 berkata usul itu juga adalah selaras dengan tumpuan atau tema persidangan tahunan kali keenam, iaitu tekad memperjuang semangat parti demi kesejahteraan rakyat serta negara.

“Pindaan perlembagaan ini adalah perkara-perkara berkaitan pentadbiran dan juga operasi Bersatu. Lebih kepada perkara-perkara yang melibatkan pentadbiran yang kita mendapat maklum balas daripada akar umbi.

“Ada penambahbaikan dari sudut pentadbiran perlu kita laksanakan. Perkara yang sudah lama kita bincang dan akan dibawa untuk diluluskan dalam perhimpunan agung ini,” katanya pada sidang media berhubung PAT Bersatu 2023 di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN).

Radzi juga berkata, usul pindaan perlembagaan parti itu hanya berhubung perkara asas pentadbiran Bersatu dalam memperkukuhkan parti itu dan tiada kaitan dengan isu antilompat parti.

Selain itu, beliau berkata usul lain yang juga akan dibentangkan pada persidangan kali ini adalah berkaitan keadaan di Palestin.

Katanya, seramai seramai 2,054 perwakilan seluruh negara akan menyertai perhimpunan itu.

Menurutnya, seramai 760 perwakilan bagi sayap Wanita Bersatu manakala 859 perwakilan Pemuda akan menyertai konvensyen masing-masing pada Khamis ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.