
Lee Beng Tiek, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, dia didakwa menipu ejen Perkeso bagi menuntut insentif berjumlah RM150,000 di bawah program itu di Perkeso Pulau Pinang, Seberang Perai Tengah antara 5 sehingga 21 Mac 2021.
Lee yang ketika itu pengurus Menbridges Academy Sdn Bhd, didakwa memperdayakan Perkeso dengan mengemukakan 52 nama dalam senarai pekerja data Penjana Kerjaya 3.0 bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja, sedangkan individu dinamakan itu bukan kakitangan syarikat terbabit.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Haziq Razali dan Aiman Abdul Rahman yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan denda minimum atas faktor anak guam mereka mengaku bersalah, sekali gus menjimatkan masa dan kos semua pihak serta memberi kerjasama baik kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh, selain mengambil kira faktor kepentingan awam, sekali gus memastikan kesalahan itu tidak berulang.
Hakim kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM50,000 bagi empat pertuduhan dan hukuman penjara antara dua hingga empat bulan, jika gagal membayar denda itu.