
Bagaimanapun, tertuduh Amirul Hakim Johari, 27, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapkan Hakim Najwa Che Mat, lapor Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di sebuah madrasah di Sik pada 11 Nov.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ikmal Affandi Zulkifli mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Al-Sabri Ahmad Kabri.
Ikmal memohon mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 ke atas tertuduh berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi.
Peguam tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan minimum kerana tertuduh berpendapatan rendah.
“Selain itu, tertuduh juga mempunyai seorang anak dan isterinya bakal bersalin minggu depan, malah tertuduh memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 21 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media semalam melaporkan kejadian seorang murid cedera beberapa bahagian badan akibat disyaki dirotan gurunya dengan batang paip polyvinyl chloride (PVC) dalam satu kejadian kira-kira dua minggu lalu.