
Hilmi, 50, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Bagi pertuduhan pertama, Hilmi didakwa meminta suapan wang tunai RM250,000 daripada Pengarah Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd Liana Mamat @ Khalid, 40, melalui Syed Muhammad Syid Aluvi, 34.
Ia sebagai dorongan bagi tertuduh, yang ketika itu setiausaha politik Sanusi Nor, membantu syarikat berkenaan mendapat kelulusan permohonan lesen perlombongan dan penjelajahan REE di sekitar Kedah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Sunway Kiara Hills, Taman Sri Hartamas di sini, pada 4 Julai lalu.
Dia turut didakwa menerima suapan wang tunai RM150,000 daripada individu sama (Liana) bagi tujuan sama di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas di sini pada 11 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM45,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Kedah sebulan sekali sehingga kes selesai.
“Tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Tarikh sebutan ditetapkan 12 Jan depan.”
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon jaminan antara RM30,000 hingga RM60,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
“Syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Kedah setiap bulan kerana alamat tertuduh di Kuala Ketil. Tertuduh juga tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.”
Peguam Syed Naqiuddin Shahab yang mewakili Hilmi memohon jaminan RM20,000 kerana anak guamnya perlu menanggung lima anak masih bersekolah, ibu dan bapa mentua serta ibu tertuduh yang uzur.
“Anak guam tidak bekerja dan ditamatkan kontrak (sebagai setiausaha politik Sanusi) selepas PRN Kedah.
“Semua syarat tambahan boleh dituruti dan ia dapat mengurangkan jumlah jaminan bagi kedua-dua kes. Anak guam juga memberi kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat sejak disiasat Julai lalu.”