Muda mahu jalin kerjasama dengan parti luar negara

Muda mahu jalin kerjasama dengan parti luar negara

Amira Aisya Abdul Aziz berkata Muda akan bekerjasama dengan Move Forward Party dan Partai Solidaritas Indonesia (PSI).

Amira Aisya Abdul Aziz berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan susulan dengan wakil Move Forward Party untuk memeterai kerjasama secara rasmi.
PETALING JAYA:
Meski pun hanya memiliki satu kerusi Parlimen dan DUN, Muda memasang cita-cita ke peringkat antarbangsa dengan menjalinkan kerjasama dengan parti politik bermula dari rantau Asia Tenggara.

Pemangku presiden Amira Aisya Abdul Aziz berkata kerjasama itu dirancang dengan Move Forward Party dari Thailand dan Partai Solidaritas Indonesia (PSI).

Menurut Adun Puteri Wangsa itu, ia termasuk dalam rangka kerja 100 hari sebagai peneraju Muda selepas mengambil alih daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Muar itu melepaskan jawatan sehingga proses undang-undang membabitkannya selesai, keputusan diambil selepas Mahkamah Tinggi pada 9 Nov memutuskannya bersalah atas empat pertuduhan berkaitan rasuah.

“Kita dah berjumpa rakan Move Forward Party dan menerusi perjumpaan itu beberapa perancangan ke hadapan dibincangkan, akan ada perjumpaan sekali lagi bagi memeterai kerjasama secara rasmi,” katanya pada sidang media.

Dalam pada itu, Amira berkata pihaknya akan melaksanakan pengukuhan dan rejuvinasi parti di peringkat dalaman bermula dengan semakan semula keahlian lebih 80,000 ahli parti itu.

Beliau juga memaklumkan Muda bakal mengadakan pemilihan parti pada penggal kedua 2024 bagi membolehkan kepimpinan parti mendapat mandat baharu daripada ahli.

“Melihat keadaan semasa, pemilihan parti perlu dibuat sebagai lembaran muda bagi Muda, mandat baharu akan menunjukan kematangannya dalam sistem politik berorganisasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.