Mangsa banjir Terengganu lepasi 1,000

Mangsa banjir Terengganu lepasi 1,000

Daerah Kuala Nerus paling terjejas melibatkan 564 mangsa daripada 166 keluarga.

Jumlah mangsa banjir Terengganu meningkat 1,070 malam ini, berbanding 893 pada sebelah petang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jumlah mangsa banjir Terengganu terus meningkat, manakala di Perak kekal setakat malam ini.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir direkodkan meningkat daripada 893 orang pada 6 petang tadi, kepada 1,070 orang pada 8 malam, berikutan hujan berterusan sejak malam semalam.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, daerah Kuala Nerus mencatat jumlah mangsa terbanyak iaitu 564 mangsa daripada 166 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut Bernama, di Kuala Terengganu, 496 mangsa daripada 152 keluarga berlindung di tiga PPS manakala di Setiu, sebuah PPS beroperasi menempatkan 10 mangsa daripada tiga keluarga.

Sementara itu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air memaklumkan paras sungai-sungai utama di Terengganu masih normal setakat 7 malam, kecuali di tiga stesen.

Stesen berkenaan melibatkan Sungai Setiu di Kampung Besut, Setiu berada pada tahap waspada iaitu di paras 16.22m, selain Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu pada tahap amaran di paras 7.95m, manakala Parit Utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus di tahap bahaya, 3.85m.

Di Perak, jumlah mangsa banjir pada malam ini kekal seperti pagi tadi, dengan 75 orang daripada 22 keluarga berlindung di dua PPS di Kerian.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak menempatkan 18 orang daripada tiga keluarga serta PPS SK Alor Pongsu dengan 57 orang daripada 19 keluarga, berlindung di kedua-dua PPS itu sejak bulan lepas.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan di Kerian, laluan FT 147 Jalan Selama ditutup kepada semua kenderaan selepas kawasan itu dinaiki air dan orang ramai diarah menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.