Lebih 1,000 hadir ‘Himpunan Selamatkan Syariah’ di Istana Kehakiman

Lebih 1,000 hadir ‘Himpunan Selamatkan Syariah’ di Istana Kehakiman

Himpunan itu bagi mempertahankan undang-undang syariah daripada dicabar pihak tertentu.

Ada dalam kalangan peserta datang dari Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk berhimpun di Istana Kehakiman, Putrajaya pagi ini.
PUTRAJAYA:
Lebih 1,000 orang yang kebanyakannya penyokong PAS serta NGO Islam menyertai “Himpunan Selamatkan Syariah” di Istana Kehakiman pagi ini.

Himpunan aman itu bagi mempertahankan undang-undang syariah dicabar pihak tertentu, susulan petisyen seorang peguam dan anaknya mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ada dalam kalangan peserta himpunan itu datang dari Kelantan, Terengganu dan Kedah. Mereka berkumpul sejak 8 pagi tadi dan himpunan dimulakan dengan solat hajat.

Sesetengah peserta dilihat memegang bendera Palestin dan sepanduk “Pertahankan Enakmen Syariah Kelantan”.

Beberapa pemimpin Perikatan Nasional turut menyertai himpunan itu, antaranya Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin.

Presiden PAS, Hadi Awang dijangka turut menghadiri himpunan itu.

Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan menyambung sidang hari ini bagi mendengar petisyen Nik Elin Zurina Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap kerajaan Kelantan.

Dua beranak itu mendakwa 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan bertindan dengan undang-undang persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Peruntukan itu antara lain ialah memusnahkan tempat ibadat, pelacuran dan pelbagai kesalahan seksual lain, termasuk homoseksual, memberi keterangan palsu serta pemalsuan dokumen.

Mereka berhujah undang-undang jenayah terbabit merupakan bidang kuasa Parlimen, justeru mahu mahkamah tertinggi itu mengisytiharkan peruntukan dalam enakmen berkenaan terbatal dan tidak sah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.