Abang Jo bentang belanjawan 2024 Sarawak bernilai RM13.6 bilion

Abang Jo bentang belanjawan 2024 Sarawak bernilai RM13.6 bilion

Belanjawan itu mewakili peningkatan 18% daripada RM11.5 bilion yang disediakan untuk mengurus dan membangun Sarawak tahun ini, kata premier.

Premier Sarawak Abang Johari Openg menegaskan, tumpuan pada pembangunan kawasan luar bandar akan diteruskan dalam belanjawan negeri bagi 2024.
KUCHING:
Premier Sarawak Abang Johari Openg hari ini membentangkan belanjawan pengembangan bagi negeri itu dengan jumlah RM13.6 bilion untuk tahun depan.

Beliau berkata, belanjawan itu mewakili peningkatan sebanyak 18% daripada RM11.5 bilion yang disediakan untuk perbelanjaan mengurus dan membangun negeri bagi 2023.

“Belanjawan 2024 terus menjadi belanjawan pengembangan yang akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan seterusnya akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada sidang DUN.

Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM9.04 bilion bagi tujuan pembangunan, dan RM4.56 bilion sebagai perbelanjaan mengurus menerusi belanjawan bertemakan “Pembangunan Untuk Semua: Bersama, Membina Sarawak yang Makmur, Mampan dan Bersatu” itu.

“Belanjawan itu akan terus menyediakan peruntukan bagi sektor utama untuk memacu pembangunan ekonomi,” katanya.

Abang Johari berkata, tumpuan pada pembangunan kawasan luar bandar akan diteruskan.

“Usaha ini diperkukuh dengan menubuhkan sembilan agensi pembangunan wilayah, yang berperanan penting dalam memperkasakan masyarakat setempat melalui pendekatan terperinci kepada usaha yang lebih besar,” katanya.

Tambahnya, kerajaan Sarawak akan menyediakan bantuan kos sara hidup dalam beberapa aspek untuk mengurangkan beban kewangan yang ditanggung kumpulan berpendapatan pertengahan, melabur secara bersasar dan terus melaksanakan program dan projek penting untuk manfaat rakyat.

Menurut Abang Johari, belanjawan kali ini adalah yang terbesar pernah disediakan kerajaan Sarawak, “bukti kepada kejayaan kita merekayasa hasil negeri dan berjimat dalam pengurusan kewangan”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.