Tarik semula sokongan pengundi tegar Umno di Kemaman, kata veteran

Tarik semula sokongan pengundi tegar Umno di Kemaman, kata veteran

Bekas Adun Kemasik Abu Bakar Ali berkata BN perlu tarik semula sokongan 14,000 penyokong tegar Umno yang beralih kepada PAS.

Calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menyantuni bekas Adun Kemasik Abu Bakar Ali di kediamannya di Kampung Baru Kerteh. (Gambar Bernama)
KEMAMAN:
Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras sepanjang dua minggu kempen PRK Kemaman untuk menarik semula kepercayaan penduduknya yang pernah menjadi pengundi tegar Umno dan gabungan itu sebelum ini.

Bekas Adun Kemasik, Abu Bakar Ali, berkata parti itu perlu merungkai sebab Parlimen tersebut yang sebelum ini terkenal sebagai kubu kuat Umno, namun boleh jatuh ke tangan pihak lawan dengan jumlah undi majoriti tinggi.

“Tiba-tiba kita kalah dengan majoriti begitu tinggi, 27,000. Kali ini tak perlu cari 27,000 nak lawan dia, kita nak cari separuh daripada itu, sekitar 14,000 penyokong kuat Umno yang tiba-tiba lari kepada PAS sekiranya kita nak menang.

“Itu sahaja caranya, kerja sungguh-sungguh untuk tarik balik, buat la cara macam mana, aktiviti perjumpaan, kita tarik balik dia kerana dia sebenarnya nak Umno tetapi mungkin ada sesuatu yang dia tidak puas hati dengan kepimpinan atau lari kepada PAS kerana terima hasutan dan janji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baru Kerteh, selepas calon BN, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor meluangkan masa menyantuninya yang merupakan veteran Umno Terengganu dan berkhidmat sebagai Adun Kemasik selama lima penggal dari 1986 hingga 2008.

PRK Kemaman yang ditetapkan 2 Dis sebagai hari mengundi dan 28 Nov untuk mengundi awal menyaksikan bekas panglima angkatan tentera itu berdepan pertembungan satu lawan satu dengan calon PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lalu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid daripada PAS pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.