Saya tak akan saman Siti Mastura, kata Loke

Saya tak akan saman Siti Mastura, kata Loke

Loke Siew Fook berkata dakwaan Ahli Parlimen PAS bahawa beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Lim Guan Eng tidak membawa maksud negatif.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata komen Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Mohamad mengenainya adalah berbeza berbanding melibatkan Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang.
GEORGE TOWN:
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Mohamad, yang baru-baru ini mendakwanya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pengerusi parti, Lim Guan Eng.

“Beliau (Siti Mastura) mendakwa saya sepupu Guan Eng, yang tidak membawa maksud negatif.

“Kenyataan itu tidak sampai ke tahap memfitnah,” kata Loke dalam sidang media di Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang 2023.

Loke berkata, kesnya berbeza berbanding melibatkan Guan Eng dan bapanya Kit Siang, di mana Siti Mastura mendakwa mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Pada 14 Nov lalu, Siti Mastura disoal siasat Bukit Aman susulan laporan polis terhadapnya berhubung satu ucapan di Terengganu pada 4 Nov, di mana beliau mendakwa pemimpin veteran DAP Kit Siang yang juga bapa Guan Eng, adalah sepupu kepada Chin Peng.

Beliau turut mendakwa Kit Siang dan Guan Eng adalah sepupu kepada bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew, manakala Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sepupu Betty Chew, isteri Guan Eng.

Timbalan ketua Wanita PAS itu juga mendakwa sebahagian besar anggota DAP mempunyai pertalian darah dengan keluarga Lim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Shuhaily Mohd Zain, berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.