
Penduduk, Uda Busu, 42, berkata gajah dewasa itu muncul buat kali pertama pada Rabu merosakkan tanaman penduduk, dan muncul semula kira-kira 5 petang hari kemudiannya, berhampiran dengan sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain.
Katanya, susulan kemunculan haiwan itu, semua penduduk dari 24 rumah di perkampungan berkenaan bertempiaran lari menuju ke jalan raya Gua Musang-Lojing.
“Kami semua terpaksa lari meninggalkan rumah dan menunggu di tepi jalan kerana risau gajah itu naik minyak…kami menunggu di tepi jalan sehingga benar-benar yakin gajah itu dah balik ke hutan, kami kembali ke rumah semula kira-kira 3 pagi.
“Sampai di rumah, kami dapati sisa makanan dan kuali dari dua rumah berselerak di atas tanah dipercayai angkara gajah itu,” katanya ketika dihubungi.
Susulan ancaman gajah liar itu, Penghulu Pos Blau, Salleh Angah, 60, berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil langkah proaktif bagi menjamin keselamatan penduduk yang berdepan dengan masalah itu.
“Kita harap pihak yang berkenaan dapat membuat tindakan untuk jangka masa yang panjang, kerana tidak mustahil gajah itu akan berjalan menuju ke perkampungan lain pula.
“Sebelum ini ada juga gajah muncul di jalan raya menuju Pos Blau. Kalau boleh kita mahu pihak berwajib menghalaunya masuk jauh ke dalam hutan dan tidak muncul di mana-mana kawasan kampung lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian.