
“Dalam Langkah Sheraton mereka secara terbuka mengakui mana-mana pihak yang bertukar sokongan akan diberi ganjaran (jawatan dan habuan lain).
“Bagaimanapun, dalam kes empat Ahli Parlimen (Bersatu) itu, ia berlaku selepas mereka melihat sendiri apa yang berlaku (di kem pembangkang),” kata perdana menteri, menurut Berita Harian.
Empat Ahli Parlimen Bersatu itu adalah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).
Anwar berkata demikian ketika sesi soal jawab bersama pelajar Malaysia pada sesi bertemu perdana menteri yang dianjurkan di luar Sidang Kemuncak Apec 2023 di San Francisco, Amerika Syarikat.
Langkah Sheraton merujuk kepada gerakan politik yang berlaku pada Februari 2020, apabila sekumpulan Ahli Parlimen PKR bersama Bersatu, Barisan Nasional dan PAS bergabung menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang berkuasa selama 22 bulan.
Tindakan berkenaan menyebabkan perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebelum digantikan Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Anwar berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menyiasat selepas timbul dakwaan Ahli Parlimen Bersatu itu dirasuah kerana kerajaan tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.