
Tertuduh, Hafiz Naharoddin, 28, dan Fazrin Naharoddin, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad, lapor Berita Harian.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa melakukan rompakan bersenjata menggunakan pisau ke atas wang tunai milik S Sarala, 36, bernilai RM200 di KK Hanans Cash and Carry di Desa Rishah Indah pada 3.35 petang, 12 Okt lalu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa secara bersama melakukan rompakan berkumpulan ke atas S Latchemee, 50, dengan mencuri telefon bimbit jenama Samsung Note 3, telefon bimbit jenama Oppo, sebentuk cincin emas, beg tangan mengandungi kad pengenalan, kad kredit, kad bank, wang tunai kira-kira RM200 dan sepasang subang emas.
Dua beradik itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai komputer di Desa Rishah 1, Desa Rishah Menglembu pada 11.30 pagi, 23 Okt lalu.
Di mahkamah sama, Fazrin bersama seorang yang masih bebas turut didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta milik Halimatonrahmah Ab Rahman, 35, iaitu dengan melarikan sebuah telefon bimbit jenama Redmi, sebuah telefon bimbit jenama Realmi, serta wang tunai RM130 dengan melakukannya bersenjatakan sebilah pisau.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai vape di Persiaran Meru Point, Taman Seri Meru pada 9 malam, 5 Okt lalu.
Pada prosiding sama, Fazrin bersama seorang lagi yang masih bebas juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan samun kumpulan bersenjata, bulan lalu.
Dia dan individu terbabit didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai farmasi di Jalan Tun Abdul Razak, dan di sebuah kedai serbaneka di Taman Perindustrian Menglembu Jaya, yang masing-masing pada 6 Okt dan 17 Okt lalu.
Hakim membenarkan jaminan RM25,000 bagi Fazrin dan RM10,000 bagi Hafiz dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, selain menetapkan 11 Jan depan sebagai tarikh untuk sebutan semula kes.