PM mesti pertahan mandat pengundi, tolak pembelot, kata Yii

PM mesti pertahan mandat pengundi, tolak pembelot, kata Yii

Kelvin Yii daripada DAP berkata, langkah menerima pembelot mungkin menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan, khususnya dalam kalangan belia.

Ahli-ahli Parlimen Bersatu Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Suhaili Abdul Rahman, Azizi Abu Naim dan Zahari Kechik secara terbuka mengumumkan sokongan terhadap kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim patut menghormati mandat rakyat dengan menolak sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang yang belot, kata seorang ahli kelab penyokong kerajaan (backbencher)

Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii berkata, tindakan empat Ahli Parlimen Bersatu baru-baru ini melepasi kelemahan dalam perundangan antilompat parti, namun rakyat masih berharap Anwar dan kerajaannya mempertahankan maksud yang tersirat dalam undang-undang berkenaan.

“Undang-undang (antilompat parti) diluluskan bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya,” katanya kepada FMT.

“Sebarang cubaan untuk membiarkan (tindakan mereka) atau mencetuskan perlakuan sama di masa depan akan bercanggah dengan maksud tersirat undang-undang itu.”

Kelvin Yii.

Undang-undang antilompat parti berkuat kuasa pada 5 Okt tahun lepas, bagi mengelak berulangnya Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menyaksikan 36 Ahli Parlimen meninggalkan kerajaan Pakatan Harapan sehingga mengakibatkan kejatuhannya selepas hanya 22 bulan memerintah.

Undang-undang baharu itu digubal bagi menghalang Ahli Parlimen mengalih sokongan kepada parti lain, atau “lompat parti”.

Yii turut menyuarakan kebimbangan langkah menerima Ahli Parlimen pembangkang yang belot akan menghakis keyakinan terhadap kerajaan, khususnya dalam kalangan belia.

“(Ini mungkin mengakibatkan) mereka tidak mengendahkan pembaharuan baik lain yang telah atau akan kerajaan laksanakan,” katanya.

Baru-baru ini, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) secara terbuka mengisytiharkan sokongan terhadap kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim walaupun masih kekal dalam gabungan pembangkang.

Isnin lepas, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy mempersoalkan tindakan kerajaan perpaduan menerima sokongan Ahli-ahli Parlimen itu.

Ramasamy yang juga bekas pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, Anwar dan kerajaannya sepatutnya lebih arif tentang perkara ini, mengambil kira latar belakang reformis mereka.

Beliau juga berkata, kerajaan mempunyai kewajipan moral untuk menolak kemungkinan “pembelotan” pada masa akan datang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim daripada PKR mempunyai perspektif berbeza, berpendapat tidak bijak jika Anwar menolak sokongan empat tokoh itu, asalkan niat mereka ikhlas.

Katanya, sokongan Ahli Parlimen pembangkang untuk kerajaan bukan sesuatu yang luar biasa dalam demokrasi parlimen matang.

“Sokongan itu (mesti) ikhlas, bukan semata-mata kerana mereka mahukan peruntukan,” katanya.

Apapun, katanya, perdana menteri wajar memberikan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen sama ada mereka daripada blok kerajaan atau sebaliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.