
“Saya berani katakan, walaupun saya sendiri perlu banyak belajar. Ini penggal pertama saya sebagai menteri, banyak cabarannya, tidak syak lagi.
“Tetapi, saya fikir anggota Kabinet ramai yang mempunyai pengalaman, tetapi ada juga kali pertama menjadi menteri yang terpaksa menghabiskan banyak masa untuk mempelajari tugas mereka,” katanya ketika ditanya persepsi umum terhadap beberapa menteri tidak mencapai standard diperlukan.
Justeru, terpulang kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim jika ingin merombak Jemaah Menteri, kata Fahmi kepada media Malaysia di sini, di luar mesyuarat pemimpin ekonomi APEC ke-30, yang berakhir hari ini.
“Adil untuk mengatakan ada yang perlu bekerja lebih keras dan lebih bijak. Saya bukanlah tidak bersetuju.”
Beliau berkata, penting juga melihat sama ada kementerian atau menteri yang mempunyai kelemahan, serta perlu mencari penyelesaian jika terdapat masalah.
“Jadi, tidak semestinya (kelemahan) menteri itu sendiri. Anda boleh ada menteri yang bagus, tetapi jika ada masalah lain di sana, anda masih akan menghadapi kesulitan.”
Secara keseluruhan, katanya, kerajaan perpaduan memperoleh banyak pencapaian, walaupun menghadapi cabaran domestik dan global.
“Harga barang dan inflasi terkawal. Bagi sektor komunikasi, kadar inflasi sektor ini kekal -3.7%. Ia sekali gus memudahkan rakyat mendapat akses internet dan ekonomi digital.”
Beliau berkata, kejayaan program seperti Skim Perubatan Madani, peningkatan jumlah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan bantuan yang telah meningkat untuk petani serta pesawah, menyaksikan peningkatan pertama dalam tempoh 25 tahun.
Dari segi pelaburan, katanya, kerajaan turut menarik banyak pelaburan dari Timur Tengah, China dan Amerika Syarikat.
“Tetapi, pada masa sama terdapat perkara yang sedang dibuat, seperti pembaharuan institusi yang akan mengambil sedikit masa.”
Fahmi berkata, satu sambutan besar-besaran untuk menandakan pemerintahan setahun kerajaan perpaduan akan diadakan dari 8 hingga 10 Dis ini, dengan semua kejayaan dikecapi kerajaan akan dikumpul dan disebarkan.
“Walaupun sambutan utama diadakan di Bukit Jalil, kami akan memastikan semua medium mengambil bahagian dan mesej serta pencapaian kerajaan perpaduan disebarkan ke seluruh negara.”