
Timbalan Pendakwa Raya Lim Wai Keong berkata, permohonan bekas perdana menteri itu agar pasportnya dilepaskan tanpa syarat tidak patut dilayan kerana dia sedang berdepan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM200 juta, yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.
Beliau berkata, walaupun Mahkamah Tinggi membatalkan tuduhan berkaitan kesalahan predikat membabitkan salah guna kuasa yang dikemukakan terhadap pengerusi Perikatan Nasional itu, rayuan untuk mengembalikannya belum selesai di Mahkamah Rayuan.
Perbicaraan rayuan itu telah ditetapkan pada 28 dan 29 Feb tahun depan, katanya.
Dalam afidavit sebagai respons kepada permohonan Muhyiddin, Lim berkata, dalam apa jua keadaan, pihak pendakwaan berpendirian bahawa tuduhan pengubahan wang haram boleh berdiri sendiri.
“Penegasan pemohon bahawa tuduhan pengubahan wang haram tidak berasas kerana tuduhan salah guna kuasa telah dibatalkan juga tidak berasas,” katanya dalam afidavit yang dilihat oleh FMT.
Tambahan, katanya, permohonan Muhyiddin untuk mengetepikan tuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen masih belum didengar.
Mendakwa tuduhan pengubahan wang haram terhadapnya “tidak berasas”, Ahli Parlimen Pagoh itu memohon Mahkamah Sesyen mengetepikannya dan melepas tanpa membebaskannya (DNAA).
Menurut afidavit Lim, bon jaminan yang dibayar bagi pihak Muhyiddin dalam prosiding jenayah masih terpakai kerana ia merupakan syarat kehadiran Muhyiddin bagi kes pengubahan wang haram.
“Saya menafikan terdapat perubahan ketara dalam keadaan. Pemohon tidak akan mengalami ketidakadilan jika syarat jaminan kekal,” katanya.
Beliau berkata, Muhyiddin boleh memohon pelepasan sementara bagi dokumen perjalanannya dari semasa ke semasa untuk bercuti atau menjalani pemeriksaan kesihatan di luar negara.
Tambahnya, mahkamah telah menetapkan ikat jamin RM2 juta kerana Muhyiddin berpotensi melarikan diri, dan oleh sebab itu, pasportnya dipegang.
Dalam permohonannya yang difailkan pada 16 Okt, Muhyiddin meminta syarat jaminannya diubah, termasuk pelepasan tanpa syarat bagi dokumen perjalanannya agar dia dapat bercuti bersama ahli keluarga.
Katanya, dia berhasrat untuk pergi bercuti ke United Kingdom dan telah menempah tiket penerbangan.
Muhyiddin juga berkata, dia memerlukan pasport untuk pergi ke Singapura bagi menjalani pemeriksaan kesihatan di Singapura.
Pada 10 Mac, Mahkamah Sesyen memerintahkan Muhyiddin menyerahkan dokumen perjalanannya sementara menunggu perbicaraan tuduhan salah guna kuasa bagi mendapatkan RM232.5 juta untuk Bersatu antara 8 Feb dan 20 Ogos 2021, dan tuduhan pengubahan wang haram.
Pada 15 Ogos, Hakim Jamil Hussin membatalkan tuduhan salah guna kuasa terhadap Muhyiddin dengan berkata, ia tidak mendedahkan berlakunya sebarang kesalahan yang diketahui undang-undang dan tidak cukup jelas untuk membolehkan Muhyiddin menyediakan pembelaan.