
Di Kedah, jumlah mangsa menurun kepada 26 orang daripada lima keluarga, setakat 8 malam tadi berbanding 249 daripada 81 keluarga pagi tadi, menjadikan hanya dua PPS masih beroperasi di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu.
Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah di Kota Setar masih menempatkan enam orang (satu keluarga), manakala PPS SK Malau di Kubang Pasu menempatkan 20 orang (empat keluarga).
“Semua mangsa banjir yang masih berada di dua PPS berkenaan mungkin dibenarkan pulang esok, sekiranya tiada hujan malam ini dan air surut sepenuhnya esok,” katanya dalam kenyataan.
Di Perak, jumlah mangsa di empat PPS menurun kepada 102 orang daripada 29 keluarga berbanding 107 orang daripada 31 keluarga pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan di Hilir Perak masih terdapat 18 orang daripada lima keluarga di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak.
Dua PPS di Kerian, iaitu SK Changkat Lobak kekal menempatkan 18 mangsa (tiga keluarga) dan 57 orang (19 keluarga) di SK Alor Pongsu.
Di Kinta pula, jumlah mangsa yang berlindung di PPS Dewan Orang Ramai Taman Meru 2A juga kekal sembilan orang (dua keluarga).