Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4% 2023, 4-5% tahun depan

Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4% 2023, 4-5% tahun depan

Gabenor BNM berkata, unjuran pertumbuhan tahun depan mengambil kira pelaksanaan cukai perkhidmatan 8%, yang boleh mempengaruhi penggunaan awam.

Gabenor Bank Negara berkata, unjuran itu berasaskan permintaan kukuh terhadap kereta penumpang serta peningkatan penggunaan swasta.
KUALA LUMPUR:
Ekonomi Malaysia diunjur mencatat pertumbuhan 4% tahun ini dan antara 4% hingga 5% tahun depan, selepas mengambil kira petunjuk kukuh ekonomi negara, kata Gabenor Bank Negara (BNM), Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata, unjuran itu berasaskan permintaan kukuh terhadap kereta penumpang serta peningkatan penggunaan swasta, sambil menambah data ekonomi Malaysia juga menunjukkan daya tahannya dalam menghadapi kejutan luaran berterusan.

“Sebagai sebuah ekonomi pelbagai, Malaysia dijangka dapat mencapai pertumbuhan disasarkan untuk tahun depan,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2023.

Rasheed berkata, BNM mempertimbangkan pelaksanaan cukai perkhidmatan 8% dalam Belanjawan 2024, yang boleh mempengaruhi penggunaan awam.

“Cukai perkhidmatan tahun depan mungkin membawa sedikit impak dari segi penggunaan, tetapi kami telah mengambil kira semua pengumuman Belanjawan 2024 dalam unjuran pertumbuhan kami bagi tahun depan.”

Ringgit

Pada suku ketiga 2023 dan setakat tahun ini, ringgit mencatatkan penurunan apabila dolar AS kembali mengukuh susulan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS).

Menyentuh penurunan ringgit berbanding dolar AS, Rasheed berkata, BNM sentiasa memacu penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dan penyelesaian untuk meredakan tekanan terhadap ringgit.

“Untuk meredakan tekanan terhadap ringgit, kami memulakan penyelesaian dalam mata wang tempatan, sebagai contoh, dalam perjanjian dengan China, 25% daripada perdagangan dalam mata wang tempatan,” katanya sambil menegaskan kadar pertukaran semasa ringgit dan dolar AS tidak mencerminkan keadaan ekonomi Malaysia yang kukuh dan berdaya tahan.

Katanya, Malaysia mempunyai sistem perbankan kukuh, pasaran kewangan teguh dan dasar kerajaan untuk menarik pelabur, yang semuanya akan menyediakan lebih banyak sokongan kepada ringgit.

“Oleh itu, pengukuhan berterusan dolar AS tidak dijangka menjejaskan prospek pertumbuhan Malaysia.

“Ketidaktentuan pasaran kewangan global dijangka reda, tanpa mengambil kira sebarang perkembangan tidak dijangka seperti ketegangan geopolitik, apabila pasaran kewangan menjangkakan kadar dasar AS akan diturunkan tahun depan.

“Ini sepatutnya mengurangkan kekuatan dolar AS dan seterusnya meredakan tekanan terhadap ringgit.”

Mengenai impak ketegangan geopolitik di Asia Barat ketika ini, beliau berkata, peperangan itu akan membawa kepada kemeruapan pasaran kewangan, namun pendedahan Malaysia kepada pasaran terbabit minimum.

Bank digital

Rasheed memberi jaminan bank digital tidak akan membawa sebarang kesan negatif ke atas sektor kewangan kerana ia meningkatkan persaingan dan memberi manfaat kepada pengguna.

“Bagi bank digital, tumpuan mereka adalah segmen ekonomi yang tidak disediakan perkhidmatan dan kurang mendapat perkhidmatan perbankan.

“Ada kawasan yang mana institusi kewangan sedia ada kita tidak menyediakan perkhidmatan perbankan, jadi bank-bank ini akan masuk untuk menyediakan khidmat kepada pasaran ini. Ia akan melengkapkan semua perkhidmatan dan produk yang disediakan bank sedia ada.”

Beliau berkata, GX Bank merupakan bank digital pertama yang menerima kelulusan memulakan operasi September lalu dan empat lagi bank digital akan menyusul.

“Juga, tiada sekatan bagi bank sedia ada untuk menumpukan pendigitalan kerana ini akan meningkatkan lagi kecekapan dan daya saing mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.