Tiada wakil PAS didekati ‘Datuk Botak’ untuk sokong kerajaan

Tiada wakil PAS didekati ‘Datuk Botak’ untuk sokong kerajaan

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berharap empat Ahli Parlimen PN menarik balik sokongan terhadap perdana menteri.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata kerajaan seharusnya menolak sokongan empat Ahli Parlimen daripada PN jika benar-benar berpegang kepada prinsip.
PETALING JAYA:
PAS mengesahkan tiada Ahli Parlimennya didekati individu tertentu supaya menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Setakat ini dalam makluman kita tidak ada,” kata Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari pada sidang media di Parlimen.

Beliau mengulas jika ada individu tertentu mendekati wakil rakyat parti itu untuk tujuan berkenaan.

Semalam, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa “Datuk Botak” yang sebelum ini dikatakan menjadi dalang meraih sokongan Ahli Parlimen parti itu turut menawarkan habuan kepada wakil rakyat PAS bagi tujuan sama.

Dalam pada itu, Fadhli berkata kerajaan seharusnya menolak sokongan empat Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) jika benar-benar berpegang kepada prinsip.

“Ia bukti kerajaan hari ini tak tahu malu. Mereka kata menentang aktiviti lompat, sepatutnya bila empat Ahli Parlimen tukar sokongan…mereka perlu tolak sokongan ini kerana bertentangan prinsip mereka selama ini.

“Apa kerajaan lakukan ini akan makan diri, mungkin tak lama lagi atau satu masa nanti,” katanya.

Beliau turut berharap semua Ahli Parlimen terbabit iaitu Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) menarik balik sokongan terhadap perdana menteri.

“Ya kita kecewa. Kita harap mereka yang pergi ke seberang sana dapat timbang semula tindakan dan tarik balik apa mereka laksanakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.