
Pesawat itu merupakan sebahagian strategi pemodenan barisan pesawat MAG bagi meningkatkan pengalaman para pelanggan, kecekapan operasi, dan memenuhi keperluan pertumbuhan rangkaian masa depan.
MAG peroleh 25 unit 737-8 melalui pajakan dengan Air Lease Corporation, yang akan dihantar secara beransur-ansur sehingga 2026.
“Pesawat itu, yang mempunyai nombor pendaftaran 9M-MVA, berlepas dari Pusat Penghantaran Boeing Seattle Isnin lepas pada 10.20 pagi waktu tempatan ke Honolulu dan Guam (Amerika Syarikat) sebelum meneruskan penerbangan pulang ke Malaysia.
“Penerbangan MH5041 itu yang diterbangkan oleh Kapten Mohd Ezaddin Roslan, Kapten Izahariman Ibrahim, dan Kapten Arian Syazwara Adenan, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 10.30 pagi dengan jumlah masa penerbangan selama 21 jam 45 minit,” kata MAG dalam kenyataan.
Dihiasi “livery” bendera Malaysia serta motif songket dan lambang wau, pesawat itu dijadualkan melakukan penerbangan komersial sulung pada 20 Nov dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.
Menurut MAG, pesawat 737-8 itu mempunyai ciri hiburan tanpa wayar yang mempamerkan pelbagai jenis kandungan bagi meningkatkan pengalaman penumpang.
737-8 akan menawarkan 12 tempat duduk dalam kelas perniagaan dan 162 tempat duduk dalam kelas ekonomi.