Nilai semula prosedur, tempoh mohon semakan hukuman mati, kata Suhakam

Nilai semula prosedur, tempoh mohon semakan hukuman mati, kata Suhakam

Suhakam berkata, ia bertujuan memberi masa mencukupi kepada peguam dan pemohon memfaikan permohonan semakan komprehensif.

Suhakam menyifatkan semakan semula hukuman mati bagi banduan akhir sebagai usaha progresif ke arah sistem keadilan lebih seimbang dan saksama. (Gambar Pixabay)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan menilai semula prosedur dan tempoh memfailkan kertas kausa bagi permohonan semakan semula hukuman mati dikemukakan banduan akhir.

Katanya, ia bertujuan memberi masa mencukupi kepada peguam dan pemohon memfaikan permohonan semakan komprehensif, termasuk pemfailan afidavit daripada ahli keluarga, mendapatkan dokumen sabitan lampau yang mungkin tidak dapat diperolehi segera serta menyediakan kes kukuh untuk semakan.

“Ini bagi memastikan keadilan dari aspek prosedur dan proses undang-undang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.

Selasa lalu, tujuh banduan hukuman mati bagi kesalahan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 melalui semakan hukuman mati bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Empat lagi banduan turut melalui semakan bagi hukuman pemenjaraan sepanjang hayat bawah akta sama.

Tetapi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, dilaporkan berkata pelaksanaan hukuman mati bagi kesalahan jenayah masih kekal dalam sistem pentadbiran jenayah di negara ini.

Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dikuatkuasakan 4 Julai lalu, manakala Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 pada 12 Sept.

Di bawah pindaan itu, tiada lagi hukuman penjara sepanjang hayat sebagai alternatif kepada hukuman mati mandatori, sebaliknya hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun.

Walaupun hukuman mati masih kekal dalam sistem pentadbiran jenayah, Suhakam menyifatkan semakan semula itu sebagai usaha progresif ke arah sistem keadilan lebih seimbang dan saksama.

“Langkah progresif bersejarah ini menunjukkan komitmen kerajaan terhadap prinsip keadilan restoratif dalam sistem keadilan jenayah dan perlindungan kepada hak asasi manusia sejagat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.