
Abu Bakar berkata Muhyiddin yang juga presiden Bersatu telah mengutuskan surat menamakannya sebagai salah seorang Adun parti itu untuk mengangkat sumpah jawatan di Istana Arau hari ini.
“Saya rasa ini tidak harus berlaku kerana melanggar arahan presiden Bersatu supaya perkara ini (pelantikan Exco) dapat dibincangkan,” katanya menurut Utusan Malaysia selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Exco di Istana Arau, Perlis.
Di bawah pentadbiran Shukri, semua exco Perlis dilantik selama setahun bagi melihat pencapaian mereka dan sesiapa sahaja akan ditukar dalam usaha meningkatkan prestasi kerajaan.
Pada majlis angkat sumpah hari ini, empat Adun PAS dan tiga Adun Bersatu mengangkat sumpah sebagai exco.
Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata semakannya juga mendapati tidak wujud unsur “penolakan Istana” terhadap cadangan melantiknya sebagai exco seperti dimaklumkan kepadanya.
“Hasil rujukan saya tak pernah langsung pihak Istana terlibat untuk menyebelahi mana-mana pihak dan tindakan itu adalah tidak wajar,” kata Abu Bakar yang juga Adun Kuala Perlis.
Sementara itu, Utusan Malaysia turut melaporkan Shukri enggan melayan kenyataan Abu Bakar dan akan bertemu Muhyiddin untuk membincangkan perkara itu.
“Setakat ini, dalam PN pun semua ahli jawatankuasa masih lagi boleh kerjasama khususnya wakil rakyat sedia ada, cumanya berlaku sedikit kontroversi dengan beberapa pihak,” katanya.
Abu Hamzah sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan berlaku ‘pergolakan dalaman’ dalam PAS di Perlis membabitkan isu kefahaman agama, susun atur gerak kerja dan pentadbiran negeri.
Kenyataan itu menyusul peringatan Presiden PAS Hadi Awang supaya ahli parti tidak menjadi “penebuk kapal” untuk menjatuhkan kerajaan diperintahnya.