Mavcom tetap KPI ukur ketepatan masa syarikat penerbangan, kata Loke

Mavcom tetap KPI ukur ketepatan masa syarikat penerbangan, kata Loke

Badan kawal selia industri penerbangan itu akan menyiapkan KPI menjelang tahun depan.

Mavcom juga sedang mengkaji menetapkan peratusan pembatalan penerbangan, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sedang dalam proses menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi syarikat penerbangan tempatan untuk mengukur prestasi ketepatan masanya, Dewan Rakyat diberitahu.

Badan kawal selia industri penerbangan itu juga sedang mengkaji menetapkan peratusan pembatalan penerbangan, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

“Mavcom dalam proses menentukan taraf prestasi bagi Pencapaian Ketepatan dan Kadar Pembatalan Penerbangan bagi syarikat penerbangan Malaysia.

“Proses ini dianggarkan akan selesai pada suku pertama 2024,” kata Loke pada Waktu Pertanyaan Menteri.

Loke turut mendedahkan bahawa Malaysia Airlines dan AirAsia menunjukkan prestasi paling buruk dari segi prestasi ketepatan masa bagi penerbangan domestik pada suku ketiga 2023, kedua-duanya pada 74%.

Prestasi ketepatan masa ditakrifkan sebagai ketibaan pesawat di pintu masuk dalam tempoh 15 minit daripada masa ketibaan yang dijadualkan. Prestasi ini diukur dengan pelepasan penerbangan tepat pada masanya.

SKS Airways mencatatkan prestasi terbaik dari segi ketepatan masa bagi penerbangan domestik (95%), diikuti MASwings (93%), Batik Air Malaysia (82%) dan FireFly (77%).

Tambah Loke, kementerian menerusi Mavcom akan mengambil tindakan sekiranya syarikat-syarikat penerbangan gagal mematuhi Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016, yang menetapkan tahap dan standard minimum perkhidmatan.

Beliau berkata, kementerian akan mencari pendekatan bagi meletakkan sasaran prestasi ketepatan masa yang perlu dicapai syarikat penerbangan.

“Kalau (syarikat penerbangan) tak dapat capai prestasi ketepatan masa itu, maka tindakan mungkin akan diambil,” katanya.

“Memang kita akan sentiasa pantau (prestasi ketepatan masa syarikat penerbangan) dan kita juga akan minta syarikat-syarikat ini uruskan jadual mereka dengan lebih baik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.