
Langkah itu dibuat selepas cadangan menggubal Enakmen Pendaftaran Petani dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Exco-Exco Pertanian Negeri Bilangan 1 Tahun 2023 yang diadakan secara hibrid semalam.
“Melalui usaha ini, kerja-kerja untuk mengenal pasti bilangan sebenar petani yang terlibat dalam sektor pertanian dapat memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan dan insentif,” kata KPKM dalam kenyataan hari ini.
“Ia juga dapat dijadikan rujukan semua pihak khususnya dalam merancang pembangunan sektor agromakanan serta mengelakkan berlaku ketirisan dalam pemberian bantuan kepada petani.”
Dalam mesyuarat itu, KPKM mengemukakan 11 pembentangan merangkumi dua kertas pertimbangan dan sembilan kertas makluman, antaranya mengenai cadangan pewujudan kawasan khusus bagi pertanian organik pada peringkat negeri.
Pewujudan kawasan-kawasan khusus itu selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030, Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG).
KPKM memberitahu mesyuarat juga mengambil maklum inisiatif pengukuhan data sektor pertanian dan agromakanan yang memerlukan sokongan tadbir urus data daripada kerajaan negeri untuk memastikan data pertanian terkini dan boleh dipercayai merentas masa.
Dalam kenyataan berasingan, Jabatan Pertanian memaklumkan, berkuat kuasa semalam, Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pengurusan dan Regulatori) Nor Sam Alwi dilantik sebagai ketua pengarah pertanian, menggantikan Zahimi Hassan yang bersara wajib pada 26 Ogos lepas.
Nor Sam, pemegang Ijazah Sains Pertanian daripada Universiti Putra Malaysia, ialah pegawai wanita kedua di jabatan itu yang dilantik sebagai ketua pengarah pertanian, sebelum ini pernah bertugas sebagai Pengarah Pertanian Negeri Perak dan Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tanaman.