
Dalam episod terbaru rancangan bual bicara FMT “Stakeholders with Shireen”, Charles Santiago berkata, kekurangan bekalan air yang stabil menyekat usaha firma asing yang ingin beroperasi di Malaysia.
Santiago memberikan contoh sebuah syarikat Eropah yang merancang pelaburan bernilai RM7 bilion di Malaysia “dalam tempoh beberapa tahun akan datang”.
.
“Mereka sudah sedia (untuk beroperasi di Malaysia),” katanya.
Bagaimanapun, setelah membina bangunannya, pelabur sedar ia hanya boleh berfungsi pada kapasiti 10% disebabkan bekalan air yang tidak mencukupi, tambahnya.
“Jadi sekarang, (rancangan mereka) terbantut. Ada juga syarikat lain yang merancang untuk datang (ke Malaysia), tetapi ingin tahu sama ada kita ada air yang cukup untuk menyokong (operasi) mereka,” kata Santiago.
Santiago memberitahu hos Shireen Muhiudeen, pusat data khususnya memerlukan bekalan air yang banyak secara berterusan untuk proses penyejukan, dan tidak dapat mengitar semula air untuk tujuan ini.
Santiago turut menyebut syarikat-syarikat lain yang ingin beroperasi di Johor, Cyberjaya dan Kuala Langat.
“(Syarikat-syarikat) itu mahu tahu sama ada cukup air untuk mereka,” katanya.
Sokongan untuk semua
Santiago berkata, penting untuk mengimbangi keperluan rakyat dengan keperluan perniagaan dari segi akses kepada air.
“Rakyat didahulukan,” katanya sambil menambah, perniagaan turut perlu diberi keutamaan kerana menjadi sumber pekerjaan.
“Jadi semua perlu disokong (dari segi bekalan air).”
Justeru, katanya, kerajaan dan masyarakat harus bekerjasama untuk memastikan semua isi rumah dan perniagaan mempunyai bekalan air yang mencukupi bagi keperluan masing-masing.
“Kita perlu fikir di luar kotak. Kita perlu lihat pada air ditebus guna, pengumpulan air hujan. Perniagaan juga mesti mula melabur dalam pengumpulan air hujan, tetapi masih belum berbuat demikian,” katanya.
Keutamaan keselamatan negara
Santiago turut menegaskan bahawa negara perlu mengutamakan pengurusan air.
“Kita perlu melihat pada pengurusan air, termasuk akses kepada air minuman, sebagai keutamaan keselamatan negara.
“Kita takkan terfikir Malaysia tidak cukup bekalan air, tetapi ada kawasan-kawasan di Kedah yang mengalami masalah ini.
“Fenomena ini boleh merebak dan melanda kawasan lain sebagai akibat perubahan iklim,” katanya.
Santiago menggesa kerajaan memperuntukkan lebih banyak sumber bagi pembangunan prasarana berkisar bekalan air.
“Bagi pembangunan prasarana (bekalan air) untuk Sarawak, Labuan serta Kelantan, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM1.1 hingga RM1.2 bilion, tetapi untuk membina kapal tentera laut LCS, antara RM9 hingga RM11 bilion diperuntukkan bagi tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya merujuk pada projek kapal tempur pesisir.
“Tetapi jika RM11 bilion itu disalurkan ke arah pembangunan lebih banyak sumber air, kita akan bersedia untuk menghadapi perubahan iklim dalam tempoh dua, tiga tahun akan datang.
“Kita takkan pakai kapal tempur pesisir itu dalam masa terdekat. Saya tak pasti di mana ada musuh dekat sini, tetapi jelas sekali kita berdepan ancaman perubahan iklim.”