Hukuman penjara sepanjang hayat pembunuh Along Spoon dipinda

Hukuman penjara sepanjang hayat pembunuh Along Spoon dipinda

Ini bermakna bekas anggota polis itu sudah menjalani hukuman lebih 23 tahun di Penjara Kajang dan terlepas hukuman sebatan kerana berusia lebih 50 tahun.

Mohamed Ya’cob Demyati sebelum ini diperintahkan menjalani hukuman mati, tetapi diringankan kepada penjara sepanjang hayat selepas Lembaga Pengampunan membenarkan petisyen rayuannya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Hukuman penjara sepanjang hayat bekas anggota polis, Mohamed Ya’cob Demyati yang membunuh penyanyi kumpulan Spoon era 90-an, Along dipinda kepada penjara 33 tahun oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya.

Ya’cob, 57, sebelum ini diperintahkan menjalani hukuman mati, tetapi diringankan kepada penjara sepanjang hayat selepas Lembaga Pengampunan membenarkan petisyen rayuannya.

Sinar Harian melaporkan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan sebulat suara itu selepas membenarkan permohonan semakan Ya’acob.

Tengku Maimun yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Hasnah Mohammed Hashim, Nordin Hassan serta Abu Bakar Jais, berkata mahkamah menggantikan hukuman itu bermula tarikh tangkapan pada 4 Jan 2000 dan sebatan.

Ini bermakna dia sudah menjalani hukuman lebih 23 tahun di Penjara Kajang dan terlepas hukuman sebatan kerana berusia lebih 50 tahun.

Seksyen 289(c) Kanun Prosedur Jenayah 2007 memperuntukkan pesalah wanita, individu dijatuhi hukuman mati dan pesalah lebih 50 tahun tidak boleh dikenakan sebatan.

Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Ya’cob pada 2 Nov 2010 dan mengekalkan hukuman gantung atas kesalahan membunuh Along atau nama sebenarnya, Sabi’ul Malik Shafiee.

Panel tiga hakim diketuai ketua hakim negara ketika itu, Zaki Azmi membuat keputusan selepas berpuas hati dengan keterangan ikut keadaan yang disandarkan pendakwa raya, kukuh untuk mensabitkan perayu atas tuduhan terbabit.

Hakim ketika itu sebulat suara keterangan cukup untuk menolak andaian penyanyi kumpulan remaja itu diculik dan dibunuh individu lain kerana Ya’acob orang terakhir dilihat bersama Along pada malam kejadian, selain penemuan mayat mangsa dalam guni di tempat sama mereka ditinggalkan, menguatkan lagi kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Ya’acob yang bertugas di cawangan pengawal pengiring IPK Kuala Lumpur dituduh membunuh Sabi’ul, 19, di tepi jalan KM28 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu pada 1 pagi 26 Dis 1999.

Along dilaporkan hilang pada 25 Dis 1999 dan polis menjumpai rangka manusia diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang pada 6 Jan 2000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.