Bos SPAN saran audit masyarakat pastikan pengusaha air bertanggungjawab

Bos SPAN saran audit masyarakat pastikan pengusaha air bertanggungjawab

Charles Santiago turut menekankan keperluan penguatkuasaan dan undang-undang pencemaran air lebih ketat.

Charles Santiago mahu kerajaan menaikkan penalti dan melaksanakan sekatan terhadap pemilik perniagaan yang menyebabkan pencemaran air.
PETALING JAYA:
Pengerusi badan kawal selia perkhidmatan pembetungan dan bekalan air di Semenanjung serta Labuan mencadangkan audit masyarakat untuk orang ramai membantu memastikan bekalan air berkualiti tinggi ke rumah dan perniagaan di seluruh negara.

Menjawab soalan dalam rancangan bual bicara FMT “Stakeholders, with Shireen”, bagaimana rakyat boleh mengharapkan bekalan air lebih bersih, Charles Santiago dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata, masyarakat boleh membantu mempercepatkan proses itu dengan menjadi lebih “berwaspada”.

Beliau memberi contoh seorang pengguna bandar, yang mewakili sekumpulan individu dan perniagaan, baru-baru ini menulis kepada SPAN meminta ia mendapatkan penjelasan Air Selangor berhubung isu tertentu yang menjejaskan bekalan air di kawasan mereka.

“Saya (mahu) menjawabnya. Jadi, kami menulis kepada Air Selangor dan mereka menjelaskannya.

Shireen Muhiudeen.

“Saya akan mempertemukan mereka dan menyelesaikannya. Tujuannya bukan untuk mencari kesalahan, tetapi bagi menyelesaikan masalah,” katanya kepada hos Shireen Muhiudeen.

Santiago berkata, proses itu memerlukan pengendali air telus, manakala pengguna dan perniagaan perlu menunjukkan persefahaman kerana pembaikan mungkin mengambil masa.

Selain kemudahan awam, katanya, semua bangunan, kilang, premis perniagaan dan isi rumah juga perlu diaudit kerana ada keadaan di mana kerosakan mungkin berlaku pada unit milik persendirian.

Dalam keadaan itu, beliau berkata, tanggungjawab melakukan pembaikan terletak pada pemiliknya.

Undang-undang dan penguatkuasaan lebih ketat

Santiago turut menggesa undang-undang lebih ketat terhadap pencemaran, termasuk denda lebih tinggi untuk perniagaan dan sekatan bagi pihak terbabit dalam pengurusan mereka.

Ketika ini, Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 menetapkan penalti maksimum bagi pencemaran air ialah denda RM500,000, penjara 10 tahun dan sebat.

Katanya, SPAN mahu denda maksimum yang boleh dikenakan ke atas pencemar dinaikkan kepada RM15 juta.

Beliau mencadangkan peruntukan undang-undang bagi pengarah syarikat hilang kelayakan dalam industri itu untuk satu jangka masa.

“Apabila menyedari pendapatan mereka akan terjejas, pelaburan akan terjejas, maka mereka akan memandang berat perkara itu.”

Kenaikan tarif air?

Mengenai kemungkinan Putrajaya menaikkan tarif air, Santiago berkata, pengendali air di beberapa negeri berdepan cabaran kewangan kerana tiada kenaikan tarif selama beberapa tahun, contohnya Pahang yang tarif airnya tidak berubah selama 40 tahun.

Bekas Ahli Parlimen Klang itu berkata, banyak pengendali bergelut menampung kos operasi mereka, termasuk perolehan bahan kimia dan paip, pembayaran gaji pekerja dan membina kapasiti kakitangan.

“Itu sebabnya kerajaan perlu menyalurkan wang kepada mereka untuk memastikan mereka dapat terus bertahan.”

Minggu lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, cadangan menyemak semula mekanisme tarif air akan dibawa kepada Jemaah Menteri kerana semua kerajaan negeri baru-baru ini bersetuju dengan kenaikan tarif air.

Bagaimanapun, Santiago berkata, SPAN tiada peranan dalam proses itu.

Jun 2022, Perdana Menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan tarif air bagi premis kediaman di Semenanjung Malaysia dan Labuan susulan kenaikan kos sara hidup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.