
Ahli Parlimen Bersatu turut menegaskan tidak wujud broker politik dan sebagainya seperti didakwa, sebaliknya beliau menyokong kerajaan perpaduan demi kepentingan penduduk Jeli.
“Sejak kenyataan saya menyokong perdana menteri, banyak tuduhan mengaitkan saya dengan ugutan dan sogokan demi kepentingan sendiri.
“Apa yang saya lakukan hanya kerana mahu melihat dan memberi perkhidmatan terbaik untuk penduduk di Jeli. Saya tidak mahu rakyat di sini menderita kerana tidak dapat peruntukan.
“Saya sanggup terima kecaman asalkan pengundi saya terbela,” katanya pada sidang media, menurut Berita Harian.
Zahari berkata, beliau sudah meminta peguamnya meneliti tuduhan itu yang disiarkan di media sosial dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika kenyataan berunsur fitnah terhadapnya tidak dihentikan.
Beliau turut mengesahkan menerima peruntukan RM300,000 daripada kerajaan dan wang itu dikreditkan ke akaun Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jeli pada Rabu.
“Peruntukan ini akan digunakan untuk program komuniti dalam masyarakat, bantuan pesakit kronik, agihan makanan dan persiapan banjir,” katanya.
Sementara itu, beliau mengesahkan belum menerima surat daripada Lembaga Disiplin Bersatu, namun sedia berdepan sebarang tindakan.
Selain Zahari yang mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar pada 8 Nov lalu, Ahli Parlimen Bersatu lain yang mengambil tindakan sama adalah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Azizi Abu Naim (Gua Musang).
Keempat-empat mereka berkata, langkah itu diambil demi kepentingan pengundi, dengan Suhaili mengaku menerima peruntukan pembangunan susulan pengisytiharan sokongannya.
Susulan tindakan itu, Suhaili dan Iskandar masing-masing digantung Bersatu selama enam dan empat tahun.