6 warga Indonesia didakwa miliki 41,000 liter petrol tanpa lesen

6 warga Indonesia didakwa miliki 41,000 liter petrol tanpa lesen

Mereka mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan itu di atas kapal yang didaftarkan sebagai MT Rahmah semasa pemeriksaan oleh Pasukan Gerakan Am, Ogos lalu.

Mahkamah membenarkan enam tertuduh itu diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin tempatan setiap seorang. (Gambar Pexels )
PETALING JAYA:
Enam warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sandakan hari ini atas tuduhan memiliki barang kawalan iaitu 41,000 liter petrol tanpa lesen di sebuah jeti di sini pada Ogos lepas.

Muhammad Idris, Tri Kusuma Rini, Muhammad Rustam, Rigal Rialdy Jutino, Muhammad Tenri Bali dan Dhyfa Pasftyono Putra didakwa melakukan kesalahan itu di atas kapal yang didaftarkan sebagai MT Rahmah semasa pemeriksaan oleh Pasukan Gerakan Am di jeti milik Syarikat Hasui Berjaya di Kampung Cenderamata.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira 9 malam, 21 Ogos lalu, menurut laporan Bernama.

Tertuduh yang berusia antara 25 dan 45 didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 22 akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Zaini Fishir membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin tempatan bagi setiap tertuduh, dan menetapkan 15 Dis untuk sebutan.

Beliau turut memerintahkan pasport tertuduh disimpan oleh pihak pendakwaan sementara menunggu terbitan bon oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi pelepasan kapal itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KPDN Md Syafique Md Hilmie manakala peguam Arthur Borine mewakili kesemua tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.