50,000 kampit benih padi sah lulus esok

50,000 kampit benih padi sah lulus esok

Sebanyak 31,000 akan diagihkan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan bawah Mada dan 19,000 lagi disalurkan ke Perlis dan Kedah.

Keperluan benih padi sah semasa ialah 72,000 tan metrik atau 3.6 juta kampit setahun, menurut KPKM.
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 50,000 kampit benih padi sah (BPS) akan diluluskan esok dengan 31,000 diagihkan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan 19,000 lagi disalurkan ke Perlis dan luar jelapang negeri Kedah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata, perkara itu antara langkah drastik jangka pendek dilaksanakan kementerian bagi memastikan bekalan BPS mencukupi dan harganya terkawal.

Katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebelum ini meluluskan 532,325 kampit BPS bagi kegunaan di Kedah dan Perlis dengan rekod pengeluaran 89,723 kampit pada 18 Okt lepas; 151,200 kampit (26 Okt); 79,142 kampit (3 Nov); dan 112,260 kampit benih (10 Nov).

“Selain itu, kementerian turut memantau dan mengawal ketat proses kelulusan ladang dan makmal terhadap 12 pengeluar BPS berdasarkan prosedur operasi standard yang ditetapkan jabatan dan agensi sebelum BPS dijual kepada pesawah,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mengenai langkah segera KPKM bagi menangani isu penjualan benih padi sah yang begitu menekan pesawah serta menjejaskan hasil pengeluaran padi dan kadar sara diri beras negara.

Menurutnya, keperluan BPS semasa ialah 72,000 tan metrik atau 3.6 juta kampit setahun dengan para pesawah menikmati insentif RM1.03 bagi setiap kilogram BPS dibeli daripada pengeluar yang dilantik kerajaan.

Pada masa sama, Mohamad berkata, bagi langkah jangka panjang, kerajaan akan melaksanakan kajian bagi menangani harga belian padi dan benih padi untuk memastikan semua pihak termasuk peruncit dan pengguna berada dalam situasi menang-menang.

Bagi tujuan itu, katanya, KPKM akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam masa terdekat bagi menentukan aspek penyelarasan harga.

Pada sesi soal jawab pula, Mohamad berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menaikkan harga siling beras putih tempatan dalam usaha menangani isu bekalan beras dalam negara.

“Memang harga (beras putih tempatan) RM26 ini ialah harga pada 2008. Jika mahu berlaku kenaikan (harga siling), maka kita kena bincang dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, KPDN.

“Perbincangan intensif ini yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga akan melibatkan pandangan Ahli-Ahli Parlimen yang terlibat dalam kawasan penanaman padi,” katanya menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berhubung kesediaan kerajaan menaikkan harga siling beras putih tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.