Wan Fayhsal tuduh Suhaili ‘pengkhianat’, tarik wakil Bersatu sokong PM

Wan Fayhsal tuduh Suhaili ‘pengkhianat’, tarik wakil Bersatu sokong PM

Ahli Parlimen Machang mendedahkan Suhaili Abdul Rahman menghubungi wakil rakyat Bersatu lain dalam usaha menyokong Anwar Ibrahim.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Suhaili Abdul Rahman adalah ‘operator’ dalam menarik wakil rakyat Bersatu  menyokong kerajaan.
KUALA LUMPUR:
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman “pengkhianat” kerana didakwa terlibat menarik wakil rakyat parti itu menyokong kerajaan.

“Dia salah seorang operator sekarang, saya gelar dia pengkhianat, senang cerita,” kata Ahli Parlimen Machang dalam sidang media di Parlimen.

FMT sedang mendapatkan komen Suhaili berhubung dakwaan terbaru Wan Fayhsal itu.

Semalam, beliau mendakwa bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador dan seorang lagi dikenali “Datuk Botak” terbabit dalam menarik Ahli Parlimen pembangkang menyokong perdana menteri.

Bagaimanapun, bekas ketua PKR Perak itu menafikan tuduhan yang dianggap fitnah dan tidak berasas terhadapnya.

Dalam pada itu, Wan Fayhsal mendedahkan Suhaili pernah menghubungi wakil rakyat Bersatu lain dalam usaha menarik mereka menyokong Anwar.

“Tengah kami mesyuarat dia dengan penuh yakin menghubungi sesama Ahli Parlimen kami. Dia tak sedar dalam mesyuarat itu (ada) ketua pembangkang.

“Bila Ahli Parlimen kami bagi telefon kepada ketua pembangkang, meloncatlah dia…terkejutlah dia sebab dia ingat dia boleh bercakap dengan Ahli Parlimen tu seorang-seorang rupanya kami dalam mesyuarat ketika itu,” dakwanya.

Wan Fayhsal berkata, selepas Suhaili mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar, beliau tidak pernah berputus asa dalam cubaannya menarik wakil rakyat lain menyebabkan Bersatu mengambil tindakan menggantung keahliannya selama enam tahun, termasuk semua jawatan disandangnya dalam parti.

Sementara itu, Wan Fayhsal mendakwa “Datuk Botak” yang sebelum ini dikatakan menjadi dalang meraih sokongan Ahli Parlimen Bersatu turut menawarkan habuan kepada wakil rakyat PAS bagi tujuan sama.

Dakwanya, selain peruntukan tawaran diberikan berbeza mengikut keperluan wakil rakyat, sambil menambah ada antara mereka ditawarkan pembangunan serta pembinaan hotel.

“Kita ada perbincangan dengan wakil rakyat Bersatu mengenai pengalaman masing-masing didekati ‘Datuk Botak’ ini, semuanya sama. Mesej yang sama, WhatsApp yang sama, maksudnya modus operandi sama,” katanya.

Beliau mendakwa, “Datuk Botak” hanya menyasarkan individu kurang lantang dan kali pertama kali menjadi wakil rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.