Tapak bangunan resort runtuh di Pulau Perhentian disita

Tapak bangunan resort runtuh di Pulau Perhentian disita

Ini susulan kajian Majlis Daerah Besut mendapati wujud pelanggaran syarat dan peraturan pembinaan oleh pemilik resort.

Bangunan tiga tingkat dalam pembinaan di sebuah resort yang runtuh di Pulau Perhentian pada 9 Nov lalu. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Majlis Daerah Besut (MDB) mengeluarkan notis sitaan tapak pembinaan bangunan resort di Pulau Perhentian yang runtuh 10 Nov lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata MDB selesai membuat kajian semalam yang mendapati wujud pelanggaran syarat dan peraturan pembinaan oleh pemilik resort.

Sehubungan itu, pihaknya akan mengambil tindakan mengikut Akta Parit dan Bangunan 1957 yang boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Pembinaan dilakukan tanpa kebenaran pihak berkuasa, sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun bomba. Kita akan ambil tindakan susulan selepas ini.

“Cuma saya nak nasihatkan mana-mana pihak terlibat dengan pembinaan supaya mengikuti peraturan ditetapkan bagi menjaga keselamatan penghuni, lebih-lebih lagi bangunan seperti resort yang melibatkan orang ramai,” katanya pada program gotong-royong Medan Selera 1 Batu Burok di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Rosli berkata, tindakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menaikkan kadar kompaun kesalahan meletak kenderaan daripada RM5 kepada RM10 bermula hari ini bertujuan mendidik orang ramai lebih bertanggungjawab dan patuh peraturan.

Katanya, kenaikan itu juga wajar kerana kali terakhir semakan kompaun dilakukan pada 1996.

“Kenaikan kadar kompaun 100% memang nampak besar, kalau dilihat dari segi peratusan. Tetapi, dari segi nilai, naik daripada RM5 kepada RM10 saja.

“Lagipun kadar ini kali terakhir kita lihat semula ialah 27 tahun lepas. PBT lain bertaraf bandar raya ada yang mengenakan kompaun hingga RM30.”

Beliau berkata, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat untuk membangunkan aplikasi sistematik bagi memudahkan orang ramai membayar kompaun dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.