
“Apa yang berlaku di Palestin hari ini akan memberi kesan kepada kita. Implikasi kepada pertelingkahan ini amat signifikan dan akan berlarutan untuk tempoh yang panjang.
“Ini adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan,” katanya dalam syarahan khas bertajuk: “Super Power Rivalry and Rising Tensions in the Asia Pacific” di University of California di sini, pada Rabu yang dihadiri kira-kira 250 pelajar.
Malaysia secara konsisten menggesa pelaksanaan gencatan senjata dan pengeboman di Gaza dihentikan.
“Seperti yang saya nyatakan di Parlimen Malaysia, tidak ada kata dua dalam perkara ini. Kita mengutuk keganasan, dalam semua bentuk dan kita mengutuk secara mutlak tindakan membunuh, mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah, dan menjadikan wanita serta kanak-kanak tebusan.
“Kita dengan tegas mengutuk pengeboman orang awam, rumah dan hospital serta kekejaman terhadap mereka yang tidak bersalah, kanak-kanak, wanita dan lelaki, dilakukan siang dan malam di Gaza.”
Beliau berkata, Malaysia melihat ini sebagai krisis kemanusiaan yang dicetuskan peperangan kejam dan tanpa mengira siapa saja mangsanya.
“Pokoknya, ini bukan soal ketuhanan. Lagipun lebih 11,000 mangsa di Gaza terdiri daripada orang Islam dan Kristian serta warganegara pelbagai negara.
“Ini adalah mengenai usaha mencegah lebih banyak kematian, penderitaan dan kebencian.
“Penyokong perjuangan Palestin bukanlah penyalur ucapan kebencian, mahupun penyokong keganasan.”