
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Eddin Syazlee Shith berkata perhimpunan itu akan menjadi medan menjelaskan kepada akar umbi mengenai perkembangan mutakhir politik tanah air, supaya keyakinan ahli kepada parti kembali dipulihkan.
“Kita tak mahu ahli salah terima (maklumat) dan berfikiran di luar konteks tentang sesuatu perkara yang berlaku.
“Saya percaya presiden (Muhyiddin Yassin) dan pimpinan akan kembali meyakinkan ahli supaya kembali ke landasan perjuangan,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, empat Ahli Parlimen Bersatu mengisytihar sokongan kepada Anwar iaitu Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).
Mereka mendakwa berbuat demikian demi menjaga kebajikan dan pembangunan di kawasan masing-masing.
Eddin yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata di sebalik cabaran itu, ahli Bersatu tidak boleh “lemah” dengan sebarang cubaan untuk melemahkan parti, malah perlu istiqamah sebagai pembangkang yang konstruktif.
“Kita sebagai pembangkang, tugas kita adalah untuk semak dan imbang. Kita tak boleh terlampau lemah semangat dengan perkembangan terkini,” katanya.
PAT Bersatu bermula dengan perasmian sayap-sayap Bersatu pada 23 Nov, sebelum diikuti Perhimpunan Agung pada 24 dan 25 Nov di IDCC, Shah Alam.