Dakwaan Anwar tarik Ahli Parlimen pembangkang kurang logik, kata penganalisis

Dakwaan Anwar tarik Ahli Parlimen pembangkang kurang logik, kata penganalisis

Tuduhan itu mungkin bertujuan mengalihkan perhatian daripada isu dalaman Bersatu, menurut penganalisis politik.

Pihak pembangkang menuduh Anwar Ibrahim cuba membeli sokongan daripada Ahli Parlimennya selepas empat wakil Bersatu menyatakan sokongan kepada perdana menteri baru-baru ini. (Gambar JAPEN)
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik berkata, tidak begitu logik dakwaan seorang pemimpin Bersatu bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menarik Ahli Parlimen pembangkang supaya menyokongnya, apabila beliau sudah mendapat sokongan daripada 147 Ahli Parlimen.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, sokongan sedia ada Ahli-ahli Parlimen terhadap Anwar sudah memadai, walaupun tidak mencapai majoriti dua pertiga.

“Beliau tidak perlu sokongan dua pertiga (majoriti) sekarang, hanya (perlu) apabila melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“(Sebarang percubaan untuk mendapatkan lebih banyak sokongan) hanya akan menjadi munasabah jika Anwar cuma mendapat sokongan 113 atau 114 Ahli Parlimen, dalam situasi di mana kerajaan boleh tumbang bila-bila masa,” katanya kepada FMT.

Pada Selasa, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa dua individu telah dikenal pasti berperanan menarik Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong perdana menteri.

Beliau berkata, kedua-duanya – seorang individu digelar “Datuk Botak” dan seorang bekas pembantu politik – ditunjukkan dalam video yang menurutnya telah tersebar di Facebook dan TikTok.

Pihak pembangkang menuduh Anwar cuba membeli sokongan Ahli Parlimennya selepas empat wakil rakyat Bersatu mengisytiharkan sokongan terhadap kerajaan untuk mendapatkan peruntukan bagi kawasan mereka.

Empat Ahli Parlimen tersebut terdiri daripada Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Azizi Abu Naim (Gua Musang); dan Zahari Kechik (Jeli).

Azmi berkata, dakwaan bahawa Anwar cuba menarik Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokongnya mungkin sebahagian daripada strategi Bersatu untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar, iaitu prestasi parti dan krisis kepimpinan dihadapinya.

“(Bersatu) tiada hala tuju, sama ada ingin jadi parti pembangkang atau meneruskan (dakwaan) bahawa mereka mempunyai angka untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan,” katanya.

Oleh itu, Azmi berkata, keempat-empat Ahli Parlimen terbabit tidak melihat adanya masa depan dalam terus menyokong Bersatu dan menggunakan peruntukan untuk mewajarkan keputusan mereka mengalih sokongan.

Sementara itu, Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia berkata, jika dakwaan tersebut benar, Bersatu akan untung dari segi politik.

“(Jika dakwaan itu benar), ini menunjukkan Anwar tidak berpegang pada prinsip dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mengukuhkan sokongan terhadapnya di Parlimen, lebih-lebih lagi apabila salah seorang yang dituduh (cuba menarik Ahli Parlimen) ialah bekas pembantunya,” katanya.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada Anwar patut menjawab dakwaan itu, Azmi dan Ahmad Fauzi berkata, tindakan sedemikian boleh menimbulkan persoalan lanjut.

“Penting untuk reputasi Anwar agar keputusan empat Ahli Parlimen itu digambarkan sebagai keputusan yang dibuat sepenuhnya mengikut kehendak mereka sendiri, tanpa sebarang tekanan luar,” tambah Ahmad Fauzi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.